`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Saturday, May 16, 2026

Nilai potensi jualan produk Sabah cecah RM95.9 juta tahun lalu, kata Hajiji

 Ketua Menteri Hajiji Noor berkata kejayaan itu hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi memperkasa usahawan Sabah dan potensi produk tempatan.

hajiji noor
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata pencapaian itu direkodkan menerusi penyertaan seramai 124 usahawan IKS dalam 18 ekspo perdagangan antarabangsa. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Kebolehpasaran produk usahawan tempatan Sabah ke pasaran antarabangsa menyaksikan peningkatan dengan nilai potensi jualan mencecah RM95.9 juta sepanjang tahun lalu.

Ketua Menteri, Hajiji Noor, berkata kejayaan itu merupakan hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi memperkasa usahawan Sabah dan potensi produk tempatan.

Beliau berkata, pencapaian tersebut direkodkan menerusi penyertaan seramai 124 usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dalam 18 ekspo perdagangan antarabangsa.

“Prestasi ini menunjukkan peningkatan 37.12% berbanding RM60.4 juta tahun sebelumnya dan membuktikan produk keluaran Sabah mempunyai kualiti serta potensi besar untuk bersaing di pasaran global,” katanya dalam program Inspirasi Beli Barangan Malaysia, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali.

Hajiji berkata, tahun ini kerajaan negeri akan terus memperluas akses pasaran antarabangsa dengan penyertaan dalam pelbagai ekspo perdagangan utama di beberapa negara termasuk Singapura, Thailand, Korea Selatan, Jepun dan Perancis.

Langkah itu bukan sahaja membuka peluang pasaran baharu kepada usahawan Sabah, malah turut memperkenal identiti serta keunikan produk tempatan ke peringkat dunia.

Usahawan tempatan Sabah perlu memanfaatkan sepenuhnya platform kempen Kita Beli Barangan Malaysia (KBBM) bagi mempromosi sekali gus meningkatkan potensi pasaran produk masing-masing, katanya.

Pelaksanaan KBBM pada 2024 mencatatkan nilai jualan berjumlah RM7.4 bilion, meningkat berbanding RM6.5 billion pada 2023 dan RM2.7 bilion pada 2022.

Sementara itu, Hajiji berkata sektor perdagangan runcit dan borong negara terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mencatatkan nilai jualan mencecah RM1.87 trilion tahun lalu, menokok berbanding RM1.766 trilion pada 2024.

Beliau berkata, pencapaian ini mencerminkan pertumbuhan aktiviti ekonomi domestik, peningkatan keyakinan pengguna serta perkembangan pesat sektor perdagangan negara.

Katanya, ini membuktikan usaha berterusan kerajaan dalam memantapkan ekosistem perdagangan domestik, termasuk melalui pelaksanaan kempen seperti KBBM, semakin memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya.

“KBBM bukan sekadar ruang untuk menjual produk, tetapi peluang bagi membina jaringan, memperkukuh jenama dan membuka akses kepada pasaran yang lebih besar.

“Saya amat menggalakkan usahawan Sabah untuk membina kerjasama strategik, bukan sahaja sesama usahawan di negeri ini, tetapi juga dengan rakan industri di Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.