`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Saturday, May 16, 2026

Zaliha dimaklum KKM akan rayu keputusan berkait pengecualian nikotin

 Dr Zaliha Mustafa yang menerajui KKM ketika pengecualian dibuat berkata rayuan amat penting bagi membetulkan tafsiran perundangan berhubung kuasa menteri.

vape
Dr Zaliha Mustafa berkata, pengecualian cecair dan gel nikotin langkah kritikal menarik industri bernilai berbilion ringgit keluar dari pasaran gelap supaya ia boleh diisytiharkan, dipantau rantaian bekalannya, dan dicukai.
PETALING JAYA:
Dr Zaliha Mustafa berkata beliau dimaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan berkait keputusan Mahkamah Tinggi semalam berhubung isu pengecualian cecair dan gel nikotin daripada Akta Racun 1952.

Zaliha yang pernah menjadi menteri kesihatan ketika pengecualian dibuat KKM, menegaskan proses rayuan itu amat penting bagi membetulkan tafsiran perundangan berhubung kuasa eksekutif menteri dalam membuat keputusan dasar demi kepentingan strategik negara.

“Keputusan yang diambil pada 2023, merupakan satu langkah berani yang akhirnya berjaya memayungi keselamatan rakyat di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang sedang berkuat kuasa sekarang,” katanya dalam catatan di Facebook.

Ahli Parlimen Sekijang itu turut mengambil maklum serta menghormati keputusan Mahkamah Tinggi, selain menghargai usaha NGO kesihatan yang membawa kes tersebut ke mahkamah sebagai bukti sistem demokrasi yang sihat.

“Proses semak dan imbang ini, bukti sistem demokrasi yang sihat. Hakikatnya, kerajaan dan pihak NGO berkongsi satu matlamat akhir yang sama, iaitu melindungi kesihatan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berpandangan, menerusi pengecualian cecair dan gel nikotin, Malaysia kini mempunyai ekosistem kawalan tembakau dan peranti vape yang jauh lebih selamat, komprehensif, dan melindungi generasi muda berbanding ketika kita hanya bergantung kepada peruntukan lapuk Akta Racun.

Katanya, sebelum Mac 2023, penguatkuasaan mengikut Akta Racun 1952 didapati tidak lagi mampu membendung lambakan produk vape yang berada di pasaran.

“Walaupun berstatus racun terkawal, jualan vape bernikotin berleluasa secara terbuka di pasaran gelap.”

Beliau berkata, pengecualian dibuat menjadi langkah kritikal menarik industri bernilai berbilion ringgit itu, keluar dari pasaran gelap supaya ia boleh diisytiharkan, dipantau rantaian bekalannya, dan dicukai.

Perkara itu telah dibincangkan secara terperinci pada Mesyuarat Jemaah Menteri sebelum beliau membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam di Parlimen pada Jun 2023 bagi menutup kelompangan undang-undang terbabit.

“RUU ini kini telah berkuat kuasa secara rasmi sebagai Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024. Akta ini bersifat ‘standalone’ bagi mengawal selia produk merokok, peranti vape, cecair nikotin serta menetapkan larangan jualan kepada golongan bawah umur,” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan tiga NGO bagi mencabar keputusan kerajaan pada 2023, mengecualikan cecair dan gel vape daripada Senarai Racun. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.