`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Friday, May 15, 2026

Polis Perak siasat penemuan dadah, telefon dalam lokap

 Pemeriksaan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard menemui barang larangan itu dalam sebuah sel di lokap Balai Polis Pusat IPD Ipoh.

Perak police chief Noor Hisam Nordin bernama pic 9426
Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin, berkata polis turut rampas tembakau, wang tunai, dan peralatan komunikasi dipercayai dibawa masuk dalam lokap tanpa kebenaran. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis membuka siasatan tatatertib menyeluruh susulan penemuan beberapa peket disyaki dadah dan telefon bimbit dalam lokap Balai Polis Pusat, IPD Ipoh, Selasa lalu.

Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin, berkata penemuan itu hasil pemeriksaan dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, IPK Perak.

Katanya, siasatan berkenaan bertujuan mengenal pasti sama ada wujud unsur kecuaian, kelemahan kawalan, pelanggaran prosedur operasi standard atau penglibatan mana-mana pegawai dan anggota dalam kejadian itu.

“Siasatan turut memberi tumpuan terhadap aspek penyeliaan serta tahap pematuhan prosedur pengurusan lokap bagi memastikan tiada kompromi terhadap integriti dan keselamatan tahanan.

“Polis Perak memandang serius penemuan barang larangan termasuk bahan disyaki dadah dan telefon bimbit di dalam lokap hasil pemeriksaan yang dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, IPK Perak,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, pemeriksaan itu dijalankan kira-kira 10 malam 12 Mei melibatkan sebuah sel menempatkan empat tahanan.

“Hasil pemeriksaan menemukan beberapa telefon bimbit diikuti beberapa peket bahan disyaki dadah jenis heroin dan metamfetamina.

“Pihak polis turut merampas beberapa barang larangan lain termasuk tembakau, wang tunai, dan peralatan komunikasi yang dipercayai dibawa masuk ke dalam lokap tanpa kebenaran,” katanya.

Noor Hisam berkata, susulan penemuan itu, satu laporan polis telah dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, semua barang kes berkaitan telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik untuk tindakan lanjut termasuk analisis dan siasatan terperinci.

“Semua ketua jabatan, ketua polis daerah dan pegawai penyelia lokap telah diarahkan mempertingkat pemeriksaan serta pemantauan secara berterusan bagi memastikan prosedur keselamatan dipatuhi sepenuhnya,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.