`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Friday, July 24, 2026

Politik Melayu-Islam perlu ambil jalan tengah, kata Saifuddin

 Setiausaha agung Parti Wawasan Negara berkata penyatuan Melayu mesti bersifat inklusif, adil serta menolak ekstremisme, fanatisme dan diskriminasi.

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah berkata orang Melayu-Islam sebagai golongan majoriti yang bersatu lebih baik untuk masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam berbanding jika mereka terus berpecah.
PETALING JAYA:
Politik Melayu-Islam perlu berada di tengah (centrist) dengan mengutamakan kesederhanaan dan menolak segala bentuk ekstremisme serta fanatisme, kata Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan) Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan usaha menyatukan orang Melayu dan Islam tidak berubah menjadi gerakan bersifat eksklusif atau meminggirkan masyarakat lain.

Namun, Saifuddin menegaskan perpaduan Melayu-Islam tidak boleh bercanggah ajaran Islam, bersifat perkauman melampau atau menyebabkan golongan majoriti menindas masyarakat lain.

Bekas menteri persekutuan itu berkata, perpaduan Melayu-Islam mesti inklusif seperti maksud lita’arafu (al- Hujurat: 13) iaitu meraikan, berkenal-kenalan, bekerjasama dan hidup bersama dalam budaya damai dengan orang bukan Melayu-Islam.

“Kuncinya ialah pendekatan wasatiyyah iaitu kesederhanaan, moderat dan seimbang serta menolak segala bentuk ekstremisme dan fanatisme.

“Politik Melayu-Islam perlu berada di pertengahan(centrist), bukannya di kiri (leftist) atau di kanan (rightist),” tulisnya dalam ruangan ‘Merentas Ruang’ diterbitkan Sinar Harian.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu juga berkata, orang Melayu-Islam sebagai golongan majoriti yang bersatu lebih baik untuk masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam berbanding jika mereka terus berpecah.

Beliau menjelaskan, ini kerana orang Melayu-Islam yang berpecah akan berlumba-lumba sesama sendiri secara tidak sihat selain berdepan sindrom mentaliti terkepung atau ketakutan lalu berasa orang lain mengambil alih hak dan peranannya.

Menurutnya, keadaan itu boleh mengakibatkan wujud perasaan anti bukan Melayu-Islam atau sifat negatif yang lain menyebabkannya tidak lagi berperanan seperti diharapkan daripada golongan majoriti.

“Sebaliknya, orang Melayu-Islam yang bersatu akan berasa yakin dan mampu berperanan sebagai golongan majoriti yang boleh diharapkan iaitu adil, saksama serta menjadi tonggak dan memimpin perpaduan seluruh rakyat.

“Jadi, usahlah dipengaruhi propaganda yang menakut-nakutkan, kononnya perpaduan Melayu-Islam akan menindas, ia gelombang hijau yang keras dan angin taliban yang ganas,” katanya.

“Kerana perpaduan Melayu-Islam bermakna keselamatan, keamanan dan kesejahteraan. Kerana perpaduan Melayu-Islam adalah juga perpaduan Malaysia.”

Dalam pada itu, Saifuddin berkata perpaduan politik boleh dicapai melalui pelbagai pendekatan, termasuk gagasan Konsensus Nasional Baharu yang dibawa Presiden Wawasan Hamzah Zainudin dan konsep demokrasi Malaysia yang berbilang kaum serta sederhana.

Katanya, Wawasan mahu berperanan sebagai ‘jambatan perpaduan politik’ dengan memulakan usaha menyatukan politik Melayu-Islam melalui kerjasama dengan Umno dan PAS.

“Namun, ada yang skeptikal kerana sebelum ini telah berlaku perpecahan contohnya banyaknya parti politik Melayu-Islam,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.