Saya cukup terkilan dengan kenyataan Hadi. Lebih-lebih lagi saya merasa hiba dengan MCA, MIC, MIPP dan Gerakan yang sanggup menjadi parti suruhan kepada naratif toksik.

Baru-baru ini pemimpin de facto Perikatan Nasional menyambung naratif kepentingan pemerintahan Melayu-Islam dan menghalalkan kerjasama PAS-Umno serta parti suruhan mereka seperti MIPP, Gerakan, MCA, MIC dan Parti Wawasan Negara. Hadi Awang menuduh DAP, PKR dan Amanah sebagai mempraktiskan sejenis ideologi politik yang bakal mengancam kedudukan istimewa Islam serta juga kedudukan raja-raja. Bagi saya, tuduhan ini amat serius dan amat penting untuk kita sama-sama renungi sebab Islam dan raja-raja Melayu tunggak penting yang mendasari banyak aspek perlembagaan kita.
Apakah tuduhan Hadi itu betul-betul bernas atau semata-mata lidah politik beliau yang tidak bertulang?
Baiklah, kalau benar semua mereka yang menyokong Pakatan Harapan, termasuklah Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Aziz Bari, ejen-ejen yang mengancam kedaulatan Islam dan kedudukan raja-raja, di manakah laporan polis untuk menamakan semua penyokong PH sebagai penjenayah besar? Apakah mengugut kedaulatan Islam dan raja-raja bukan suatu ‘criminal offense’. Mungkin saya sendiri kurang arif tentang undang-undang tetapi banyak sudah laporan polis dibuat sampai mentega pun tak boleh terbang. Jadi, where is your police report Hadi?
Baiklah kita sahkan report tak ada. Done.
Keduanya, kalau betul semua menteri-menteri PH yang dilantik dengan persetujuan ketua agama Malaysia kini ‘a clear and present danger’ kepada Islam dan institusi raja Melayu, bilakah Majlis Raja-Raja bersidang dan isytihar semua ahli PH dalam Kabinet adalah durjana dan pengkhianat agama dan bangsa? Kenapa sultan, raja dan Yang di-Pertuan sebulan dulu tak pecat menteri besar serta exco PH yang dianggap musuh Islam dan raja?
Ada tak? Tak ada pun. Done.
Kita pergi kepada authority agama pula. Mungkinkah saya terlepas pandang dan tidak mengetahui tentang suatu konvensyen mufti-mufti dan ulama yang bersidang bagi memfatwakan bahawa semua ahli-ahli politik PH serta penyokong mereka baik Melayu, Cina, India, Orang Asli, Kadazan, Dayak atau India sebagai mereka yang mempraktiskan ajaran atau ideologi yang membahayakan kedaulatan Islam serta kedudukan raja-raja Melayu?
Saya rasa-rasa macam tak bersidang pun. Done.
Keempat, kita tengok pula golongan cerdik pandai iaitu para profesor dan profesor madya di universiti-universiti sama ada mereka telah berkumpul dan membuat suatu kenyataan mengecam semua ahli PH dalam Kabinet, mengecam Anwar Ibrahim sebagai PM dan semua penyokong PH yang pelbagai agama, kaum dan budaya sebagai ‘a threat to the sanctity of Islam and the authority of the Malay rulers’? Kalau ada seminar atau konvensyen atau perjumpaan, saya pasti register untuk menghadirinya dan memberi pandangan.
Ada atau tidak perjumpaan tersebut? Saya kira tidak ada pun. Done.
Maka itu, dengan ketiadaan proses validasi keempat-empat entiti serta institusi tersebut maka saya perlu membuat suatu kesimpulan bahawa Hadi terang-terang temberang di siang hari. Tiada logik dalam kenyataan beliau. Tiada ada apa-apa kemunasabahan dalam kenyataan beliau. Tiada sokongan langsung dari autoriti sedia ada melainkan ijtihad kosong sendiri sebagai taktik untuk menghalalkan perkahwinan politik yang entah berapa kali dengan Umno yang disayang-benci sentiasa.
Saya cukup terkilan dengan kenyataan Hadi yang boleh meranapkan keharmonian kaum dan agama. Lebih-lebih lagi saya merasa amat hiba dengan golongan bukan Islam dalam MCA, MIC, MIPP dan Gerakan yang sanggup menjadi parti suruhan kepada naratif toksik dan tidak tersokong ini. Apa dah jadi kepada kamu semua yang tak kenal mana Islam yang baik dan mana Muslim yang berniat jahat?
Sebagai seorang Muslim, saya serahkan sahaja kata nista seperti yang terluah ahli politik desperado yang kemaruk nak jadi pemerintah sebagai ulasan serta taktik yang deficient nilai-nilai Islam. Saya akhiri dengan kata-kata hikmat mantan pemimpin Abim dan ulamak Melayu tersohor, Siddik Fadzil yang merungkai erti kata Islam dan pembinaan bangsa:
“Sementara itu nilai persaudaraan perlu difahami dan diamalkan dalam erti yang luas, tidak terbatas hanya dalam lingkaran persaudaraan seagama (ukhuwwah dinniyah), tetapi meliputi persaudaraan setanah air (ukhuwwah wataniyyah) dan seterusnya persaudaraan kemanusiaan (ukhuwwah insaniyyah).” - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.