`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Wednesday, July 22, 2026

Cerita MN 2.0

 MN 2.0 sudah wujud. Meskipun tidak ada majlis gilang gemilang untuk meraikan pewujudannya. Juga tidak ada piagam diumumkan.

Mohsin Abdullah

Pada 3 Jun lalu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dilapor berkata masanya sudah tiba MN atau Muafakat Nasional dihidupkan semula — yakni diwujudkan MN 2.0.

Mengapa? “Demi memperkukuh politik Melayu dan umat Islam menjelang beberapa pilihan raya negeri yang bakal berlangsung”. Terpulang jika anda mahu menerima sebab atau alasan itu.

Saya pertikai bab ‘perkukuh politik Melayu’. Apa yang kukuh jika Bersatu is not part of the MN 2.0 equation? Bersatu bukan Melayu ke? Presiden Muhyiddin Yassin bukan Melayu atau tak cukup Melayu?

Pada 2010, beliau pernah secara terbuka mengumumkan “I am Malay first”. Diakui waktu itu Muhyiddin timbalan presiden Umno. Ini sekadar contoh — bukan saya lobi untuk Bersatu.

Berbalik kenyataan Tuan Ibrahim tadi yang disuarakan menjelang beberapa PRN. Sejak beliau berkata demikian PRN Johor sudah dilaksanakan, PRN Negeri Sembilan akan diadakan 1 Ogos ini manakala Melaka mungkin adakan plihan raya September ini.

Sebenarnya sejak itu juga MN 2.0 sudah diwujudkan, pada hemat saya. Secara tidak langsung. Meskipun tidak ada majlis khas gilang gemilang untuk meraikan pewujudannya. Juga tidak ada piagam diumumkan. Tidak seperti waktu penubuhan MN asal pada 2019.

Di PRN Johor tempoh hari memang ada kerjasama PAS dengan Umno. Persetujuan dikatakan dicapai sebelum pilihan raya diadakan tetapi dibuat secara sulit. Di bawah selimut. Pemimpin Umno menafikan tetapi saya lihat itu hanya cakap-cakap politik.

Apabila PAS khususnya Presiden Hadi Awang menggesa orang Melayu mesti undi BN di kerusi yang PAS tidak bertanding “demi memastikan Melayu memerintah” nyatalah ada kerjasama. Itu MN2.0 lah.

Di Negeri Sembilan, PAS dan Umno agak bold menunjukkan kerjasama. Pun begitu Umno awalnya cakap bunga-bunga — “Sebelas kerusi akan ditandingi rakan strategik kami. Tetapi mereka itu bukan Pakatan Harapan dan Bersatu,” kata seorang kenalan saya, yang rapat dengan Zahid Hamidi, presiden Umno.

Jelas rakan strategik yang dimaksudkan? Takkan Parti Republican si Donald Trump pula kan?

Pada hari penamaan calon 18 Julai lalu pemimpin PAS dan Umno bermesra tunjuk keakraban. Nyata Barisan Nasional tidak akan bertempur dengan Perikatan Nasional. Disebut ‘BN’ kerana gabungan itu ada letak calon MCA dan MIC. Disebut ‘PN’ pula kerana ada calon daripada parti lain yang merupakan komponennya. Namun hakikatnya watak utama ialah PAS dan Umno. Lalu saya ulangi MN2.0 sudah wujud, pada peringkat negeri for now. Memang ada parti bukan Melayu dalam MN2.0. Also for now.

Ini langkah rebranding MN. Pun begitu pada pendapat saya parti kecil yang jadi komponen terutama non-Malay parties seperti MIC, MCA, Gerakan sekadar window dressing untuk beri imej kepelbagaian, lagi pun they don’t have much say.

Anyway so far so good. PAS dan Umno sama-sama nampak yakin dan puas hati. Namun itu di peringkat negeri. Kata Yusri Ibrahim, ketua penyelidik Ilham Centre, persefahaman antara Umno-PAS dalam PRN Negeri Sembilan ini banyak menguntungkan BN.

Dapatan setakat ini, kata Yusri, menunjukkan pengundi PAS memberi komitmen penuh untuk mengundi calon-calon BN. “Dengan kata lain kebolehpindahan undi atau transferability vote daripada PAS kepada BN berpotensi secara optimum,” menurut beliau. Dalam bahasa mudah pengundi PAS akan beri undi kepada BN dengan banyak. Ini tidak memeranjatkan. Bukankah mereka ini wala’, setia kepada pemimpin lantas akan turuti arahan pemimpin? Umno yang untung.

Sebaliknya pemindahan undi daripada pengundi Umno kepada PAS-PN dijangka berlaku secara terhad kerana “ramai yang ditemui belum bersedia untuk mengundi calon-calon PN,” kata Yusri. PAS yang rugi.

Kata Yusri ini mengulangi episod kerjasama PH-BN di mana pemindahan undi PH kepada BN berlaku secara optimum tetapi bukan sebaliknya daripada BN kepada PH. BN (baca: Umno) untung.

Bagi saya ini satu masalah yang diteliti PAS jika ia mahu bawa MN 2.0 to another level iaitu ke peringkat nasional. Pasti ini yang PAS mahu lakukan kerana tak akan cukup pada peringkat negeri sahaja.

Membawa pula kepada masalah yang menyumbang kepada perpecahan MN dulu. Perlu diakui PAS juga ada buat perangai yang mengakibatkan MN pecah, antaranya (menurut Umno) PAS main kayu tiga yakni bercinta dengan Bersatu semasa berumah tangga dengan Umno.

Anologi perkahwinan ini gemar digunakan oleh pemimpin Umno dan PAS, Umno khususnya, lantas Umno merajuk maka bercerailah dengan PAS. Riwayat MN berakhir.

Bagaimanapun andai jodoh mereka panjang waktu itu masalah lain akan timbul. Antara yang utama ialah soal pembahagian kerusi. Siapa bertanding di mana? Kedua-dua idamkan kerusi yang sama. Kerusi tradisi, kata mereka. Untuk PRN mudah untuk berkompromi. Di Johor dan Negeri Sembilan, PAS yang banyak beralah kerana jika tidak MN2.0 tidak mungkin terjadi. Tetapi pada peringkat nasional lain ceritanya.

PAS dan Umno pasti akan cuba mengatasi masalah itu menjelang PRU16. Berjaya atau tidak only time will tell. Sementara itu akan terus jaja slogan ‘perpaduan Melayu, penyatuan ummah, Melayu-Islam memerintah’ yang senada ‘ketuanan Melayu’. Untuk mendapat sokongan orang Melayu yang majoriti di negara ini.

Bagaimanapun orang macam saya akan pertikai hasrat di sebalik slogan berkenaan seperti disebut di awal penulisan ini. Bagi saya slogan seem hollow. Bagi saya selagi ada dua entiti, masalah pasti ada untuk merealisasikan slogan yang dilaungkan, kecuali PAS bubar, Umno pun bubar dan tubuh satu parti baharu.

A common party untuk mereka. Barulah slogan ‘perpaduan Melayu, penyatuan ummah dan Melayu-Islam memerintah’ tidak dilihat kosong. Memang ini pengorbanan besar.

Tetapi dalam perjuangan, pengorbanan memang dituntut. Ini pada pandangan sayalah. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili  MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.