`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Tuesday, July 21, 2026

Sabah Southern Madani Link perkukuh kestabilan, keselamatan bekalan elektrik

 SSML merupakan pelaburan strategik oleh kerajaan Sabah bagi memperkukuh kestabilan dan keselamatan bekalan elektrik.

electric
SSML menyokong integrasi penjanaan baharu, meningkatkan kecekapan kos sistem elektrik dan memperkukuh kedudukan Sabah dalam agenda integrasi tenaga serantau. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pelaksanaan Projek Sabah Southern Madani Link (SSML) oleh kerajaan Sabah merupakan pelaburan strategik bagi memperkukuh kestabilan dan keselamatan bekalan elektrik.

SSML menyokong integrasi penjanaan baharu, meningkatkan kecekapan kos sistem elektrik dan memperkukuh kedudukan Sabah dalam agenda integrasi tenaga serantau, menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra).

SSML itu juga memperkukuh sistem penghantaran elektrik 275 kilovolt di Sabah dan berperanan penting bagi memastikan tenaga daripada sumber penjanaan sedia ada serta baharu dapat disalurkan khususnya ke pantai timur.

Pada masa ini, sebahagian besar sumber penjanaan yang lebih kompetitif dari segi kos tertumpu di kawasan pantai barat, manakala permintaan elektrik di pantai timur terus meningkat.

“Kebergantungan kepada talian penghantaran tunggal 275 kilovolt Kolopis-Segaliud sedia ada, menjadikan projek SSML ini penting sebagai laluan alternatif melalui bahagian selatan Sabah, sekali gus meningkatkan ketahanan dan keboleharapan grid sekiranya berlaku gangguan pada sistem penghantaran sedia ada,” katanya dalam jawapan lisan Dewan Negara di laman sesawang Parlimen.

Kementerian menjawab soalan Senator Edward Linggu Bukut mengenai SSML dan margin rizab bekalan elektrik Sabah bagi tempoh lima tahun.

Projek SSML dan projek sambung tara Sabah-Sarawak akan membentuk sistem grid yang lebih kukuh, bersepadu dan berdaya tahan.

“Infrastruktur ini juga menyediakan asas kepada penyertaan Sabah dalam Grid Tenaga Asean (APG) pada masa hadapan bagi membuka peluang perdagangan tenaga rentas sempadan, iaitu mengimport tenaga apabila lebih ekonomik atau mengeksport tenaga apabila terdapat lebihan tenaga di Grid Sabah,” kata Petra.

Sementara itu, kerajaan Sabah juga sedang dan akan melaksanakan pelbagai projek termasuk penambahan kapasiti penjanaan gas di pantai timur dan pantai barat, pembangunan projek hidroelektrik dan solar berskala besar, penambahan sistem storan tenaga bateri serta pengukuhan rangkaian penghantaran utama.

Tambahnya, pelaksanaan projek-projek tersebut dijangka memastikan kapasiti penjanaan mencukupi bagi keperluan Sabah dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.