Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru institusi pengajian tinggi dan badan penyelidikan memperkukuh budaya ilmu bagi mendepani cabaran semasa.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah golongan ilmuwan perlu memainkan peranan dalam membimbing masyarakat mendepani cabaran semasa dengan pendekatan seimbang.
Baginda berkata Allahyarham Syeikh Yusuf al-Qaradawi antara tokoh yang berjaya menghubungkan warisan keilmuan Islam dengan realiti kehidupan moden.
“Beliau bukan sahaja dikenali sebagai seorang faqih yang mendalami khazanah turath, malah sebagai seorang mujaddid yang berjaya menghubungkan warisan keilmuan Islam dengan realiti serta cabaran kehidupan moden,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Seminar Pemikiran Yusuf al-Qaradawi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Seminar itu dianjurkan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) dengan kerjasama DBP serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Tuanku Syed Faizuddin turut menyeru institusi pengajian tinggi, badan penyelidikan serta agensi bahasa dan persuratan berganding bahu memperkukuh budaya membaca, menulis, berdialog serta menjalankan penyelidikan.
Baginda bertitah usaha menghasilkan karya ilmiah berkualiti perlu dipertingkat bagi memperkasa pembangunan ilmu dalam negara.
Baginda turut menghargai usaha memperkukuh Institut Pemikiran Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi sebagai pusat penyelidikan yang menghimpunkan sarjana, penyelidik dan generasi muda untuk mengembangkan pemikiran Islam kontemporari.
Mengenai aspirasi UniSIRAJ sebagai universiti wakaf, baginda berkata konsep itu bukan sekadar identiti institusi, sebaliknya ia mencerminkan kelangsungan budaya wakaf sebagai asas pembangunan ilmu, penyelidikan dan pembinaan modal insan. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.