`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Tuesday, July 21, 2026

Mewarnai PRN Negeri Sembilan

 Tidaklah saya tahu mengapa Anwar Ibrahim keluarkan peringatan. Adakah beliau tahu apa yang kita tidak tahu?

Mohsin Abdullah

Anwar Ibrahim mahu menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan agensi kerajaaan berundur jika guna kedudukan mereka menyerang rakan kerajaan perpaduan ketika berkempen pada PRN Negeri Sembilan. Kita tahulah ‘berundur’ ertinya letak jawatan.

Sebagai perdana menteri beliau berhak mengeluarkan peringatan sedemikian tetapi oleh kerana Anwar juga pengerusi Pakatan Harapan yang bertembung dengan Barisan Nasional tindakan itu boleh mendedahkan beliau kepada bermacam-macam tuduhan, terutama dalam kalangan orang yang hanya gemar baca tajuk berita dan bukan laporan penuh.

Umpamanya tajuk seperti ‘Anwar ingatkan jangan serang rakan kerjaan perpaduan’ atau ‘Salah guna kedudukan serang rakan kerajaan perpaduan diminta letak jawatan’, lalu Anwar boleh dilihat mengugut lawan, tidak mahu orang PH dikritik lantas tidak adil dan tidak demokratik. Namun gesaan Anwar dibuat secara am, dituju kepada semua pihak termasuk orang PH yang jadi menteri, timbalan menteri dan pegang jawatan agensi kerajaan.

PH dan BN masing-masing mendakwa tidak menyerang peribadi lawan semasa berkempen. Tidaklah saya tahu mengapa Anwar deemed it right untuk keluarkan peringatan. Adakah beliau tahu apa yang kita tidak tahu? Nampak apa yang kita terlepas pandang? Atau sekadar pre-emptive move untuk memastikan serangan rakan sesama kerajaan tidak berlaku?

Tup-tup muncul Mohamad Hasan, timbalan presiden Umno dan menteri dalam kerajaan perpaduan pimpinan PMX. Kata Mohamad, yang ramai panggil Tok Mat, beliau sedia letak jawatan jika ada arahan perdana menteri.

Pada masa sama beliau mendakwa “kita tak ada memburuk-burukkan. Kita tak sentuh peribadi”. Jika begitu mengapa bersedia letak jawatan? Adakah Tok Mat sendiri rasa apa yang beliau katakan bersama bosnya, Zahid Hamidi, semasa berkempen melayakkan beliau letak jawatan?

“Terpulang kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana beliau yang lantik menteri dan timbalan menteri,” kata beliau lagi seperti dilapor myMetro 19 Julai lalu.

Pelik juga beliau berkata begitu. “Tok Mat semakin daring bro, short of issuing a challenge to PMX,” menurut seorang kawan lama saya. Namun jika benar begitu keadaannya maka agak memeranjatkan — bukankah Tok Mat dikenali dalam kalangan orang parti sendiri sebagai seorang pemimpin yang play safe?

Apa pun bagi saya jika beliau sedia letak jawatan maka elok dilaksanakan tanpa tunggu arahan perdana menteri. Diarah, diminta atau disuruh letak jawatan boleh membawa erti dipecat, dan dipecat memang akan mendatangkan banyak political points pada musim pilihan raya.

Namun untuk berlaku adil perlu dijelaskan Mohamad kata apa yang beliau kata sebagai respons kepabda media yang meminta reaksi terhadap peringatan perdana menteri. Maksudnya beliau tidaklah tiba-tiba keluarkan kenyataan dengan tidak semana-mena.

Bercakap pasal play safe, ingat tak semasa 14 Adun BN di Negeri Sembilan mengumumkan tarik sokongan daripada kerajaan negeri. Mohamad tidak ada bersama pada sidang mereka meskipun beliau juga Adun BN.

Walaupun Tok Mat diberitakan berada di luar negera waktu itu atas urusan rasmi selaku menteri luar, ada among his detractors tuduh beliau play safe sekali lagi. Wallahualam.

Adun BN seramai 14 orang itu awalnya dilaporkan bersedia berganding dengan Adun PAS dan Bersatu untuk tubuh kerajaan negeri. Kira tebuk atap lah. That didn’t worked out. Adun BN buat U-turn dan kekal dalam kerajaan perpaduan negeri, tetapi menyatakan pula mereka hanya tidak menyokong Menteri Besar Aminuddin Harun.

Saya mengimbau kembali peristiwa itu kerana ia mendorong Aminuddin membubarkan DUN Negeri Sembilan, yang membuka laluan untuk PRN 1 Ogos ini. Tindakan 14 Adun itu mencetuskan krisis politik berkaitan isu institusi adat dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Umum tahu isu berkisar pertembungan kuasa Yang di-Pertuan Besar dan pembesar adat iaitu Undang yang Empat. Itu ringkasnya. Berlaku juga percubaan menggantikan Yang di-Pertuan Besar tetapi tidak berjaya. Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri kekal mengiktiraf kedudukan Yang di-Pertuan Besar sekarang yakni Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. Kata perdana menteri, kerajaan persekutuan mempertahankan kedaulatan institusi raja-raja dan menggesa sebarang isu berkaitan takhta diselesaikan mengikut saluran perlembangaan yang sah.

Baru-baru ini lebih tepat pada 15 Julai lalu , Anwar meminta semua pihak terutama pemimpin parti jangan jadikan institusi raja sebagai modal politik sepanjang kempen PRN. Pada hemat saya soal institusi diraja, institusi adat dan sebagainya akan dipergunakan oleh politikus sewaktu berkempen sebab peristiwa itu yang mencetuskan krisis yang menyaksikan PRN terpaksa diadakan.

Saya menjangka politikus akan bercakap soal mempertahankan institusi raja dan adat serta membangkitkan soal ‘setia’ dan ‘derhaka’.

Seorang pemerhati politik anak jati Negeri Sembilan kurang setuju. Kata beliau: “Tak juga. Sebab yang lantik Yamtuan (Yang di-Pertuan Besar) adalah kuasa Undang yang Empat. Melampau dalam isu ini akan melepasi garis halus atau sempadan hak institusi adat itu sendiri. Sebarang kesilapan boleh dimanfaatkan, salah interpretasi atau dimanipulasi.”

Seterusnya kata beliau: “Sentimen di bawah bercampur aduk. Tak semudah nak kata derhaka dan sebagainya”. Sesungguhnya begitulah harapan saya kerana dakwaan ‘aku setia’ dan tuduhan ‘kamu derhaka’ are nasty yang boleh mengusutkan keadaan walaupun setelah pilihan raya tamat.

Bagi si pemerhati politik tadi, rakyat melihat isu ini dalam perspektif yang berbeza. “Bagi penyokong Umno naratif kegagalan kerajaan negeri dalam menguruskan krisis adat lebih nampak ketara.”

Maaf jika saya kelihatan memihak. Menurut saya krisis tercetus akibat tindakan Adun BN sendiri. Cuma pandangan saya yang bukan orang Nogori.

Namun PH pula, kata pemerhati politik itu, melihat wujud campur tangan jelas politik Umno dalam isu ini.

Yang jelas, kata beliau, “naratif yang dominan akan memenangi dan mendominasi krisis ini. Itulah yang akan mewarnai PRN ini.”

Warna-warni pilihan raya gamaknya. Saya hanya mampu kata ‘menarik’. Atau adakah ungkapan ‘hebat’ yang lebih tepat? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.