Jurucakap kerajaan perpaduan jelas PM hanya ingatkan tentang semangat perpaduan dan profesionalisme.

Jurucakap kerajaan perpaduan itu berkata, perdana menteri hanya mengingatkan semua pemegang jawatan dalam kerajaan supaya terus mengekalkan semangat perpaduan, di samping memastikan disiplin dan profesionalisme sepanjang tempoh berkempen bagi PRN Negeri Sembilan.
“Perdana menteri berpandangan, proses demokrasi sememangnya membuka ruang kepada perbezaan pandangan dan pendapat. Malah, dalam beberapa PRN sebelum ini, parti-parti dalam kerajaan perpaduan turut bertanding secara berasingan.
“Namun, apa yang ditegaskan adalah agar semua pihak yang memegang jawatan dalam kerajaan perpaduan mesti terus saling menghormati antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Ziarah Kasih di Felda Palong 2.
Fahmi yang juga menteri komunikasi berkata, perdana menteri turut mengambil kira bahawa sebarang tindakan pada peringkat persekutuan boleh memberi implikasi terhadap persepsi pelabur, sama ada dari dalam mahupun luar negara.
Sehubungan itu, katanya, perdana menteri melihat aspek kestabilan dan keyakinan pelabur sebagai antara pertimbangan penting dalam menguruskan sebarang perbezaan yang timbul sepanjang proses demokrasi berlangsung.
Terdahulu dilaporkan Anwar memberi amaran kepada menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan agensi kerajaan supaya berundur jika menggunakan kedudukan masing-masing untuk menyerang rakan dalam kerajaan perpaduan ketika berkempen pada PRN.
Susulan itu, Menteri Luar Mohamad Hasan memaklumkan, beliau bersedia melepaskan jawatan sebagai anggota Jemaah Menteri sekiranya diarahkan.
Menteri Pertahanan Khaled Nordin turut dilaporkan berkata, jika seseorang menteri tidak lagi dikehendaki, tiada keperluan untuk terus menunggu melepas jawatan. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.