`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Tuesday, July 21, 2026

Apabila politik jadi identiti diri

 Jika hendak menyokong sesuatu, sokonglah dengan rasional tapi tak usahlah sampai menjadi hamba kepada apa yang kita sokong.

ronasina

Pernahkah anda bergaduh hanya kerana kawan mengutuk kelab bola sepak kegemaran anda? Atau berbalah kerana band kegemaran anda diperkecilkan? Atau bertekak apabila aliran agama yang anda yakini dipertikaikan oleh rakan seagama yang berbeza aliran? Paling selalu, bertikam lidah kerana mempertahankan parti politik yang anda sokong?

Kalau pernah, mungkin kita sedang mengalami sesuatu yang ahli psikologi panggil sebagai ‘identity fusion’. Dalam bahasa Melayu saya tak pasti tapi bolehlah digelar ‘peleburan identiti’. Ia bermaksud identiti sesuatu kumpulan atau organisasi telah melebur ke dalam identiti diri kita sendiri. Kita bukan lagi sekadar menyokong sesuatu ideologi atau pertubuhan, tetapi kita telah menjadi ia.

Apabila parti politik telah melekat menjadi identiti diri, setiap kritikan terhadap parti terasa seperti penghinaan terhadap diri sendiri. Itulah sebabnya kita akan melihat ada orang bersungguh-sungguh marah apabila parti politik yang disokongnya dihentam. Ataupun ketika orang mengkritik dasar kerajaan, tetapi dek kerana parti yang membentuk kerajaan itu ialah parti yang dia sokong, dia seolah-olah merasakan dirinya sendiri turut kena tempias.

Itu belum lagi apabila pemimpin pujaannya dikecam. Bertambah sakit hati dia. Dia sanggup kehilangan kawan, malah merenggangkan hubungan dengan ahli keluarga demi parti yang dia anuti.

Begitu juga dalam beberapa bidang yang saya sebutkan tadi seperti kelab bola sepak, dunia agama atau dunia muzik. Di sana tetap heboh dengan perdebatan dan pergaduhan. Masing-masing menegakkan hujah mempertahankan pendapat seolah-olah diri sendiri yang terkena serangan. Itulah yang dimaksudkan dengan penyakit ‘identity fusion’ tadi.

Menjadi penyokong kepada mana-mana pertubuhan, aliran atau ideologi ialah hak masing-masing yang tidak boleh kita nafikan. Ia tidak salah. Memang manusia mempunyai keinginan untuk menjadi sebahagian daripada sesuatu. Kita mahu menyumbang, memberi dan berkhidmat. Kita juga mempunyai keinginan untuk diterima dalam sebuah kelompok. Itu lumrah. Masalahnya bermula apabila kita menjadi tertutup dan hanya menerima sesuatu daripada lingkungan kita sahaja. Kononnya setia.

Tetapi kesetiaan dan sikap tertutup seperti ini boleh membawa pula kepada sifat asabiah, iaitu ketaasuban terhadap kelompok sendiri sehingga kesetiaan mengatasi pertimbangan. Dalam politik kita muncullah istilah ‘walaun’, ‘walanon’ yang mana penyokong mengejek musuh politik mereka yang taasub. Gelaran bermacam-macam tetapi perangai mana-mana pun sama sahaja.

Kerana telah melebur, kita membela dan mempertahankan sesuatu bukan kerana ia benar, tetapi kerana ia dibuat oleh kumpulan kita. Ada perbuatan yang dibuat oleh kumpulan kita sama seperti kumpulan lain tetapi kumpulan lain kita kecam dan cakap itu semua salah. Bila kumpulan kita buat perkara yang sama, kita diam. Lebih parah, kita mempertahankan pula apabila kumpulan kita diserang dengan perbuatan tersebut. Ada hujah, ada bukti dan ada nas serta dalil yang membenarkan perbuatan kita. Benar atau salah tak lagi penting, yang penting kita menang. Kesetiaan melulu ini akan mengatasi pertimbangan yang rasional.

Dunia media sosial turut menyuburkan keadaan ini. Algoritma media sosial perlahan-lahan membina dunia yang hanya memantulkan semula kepercayaan kita sendiri. Berdasarkan apa yang kerap kita layari, kita akhirnya hanya ‘bergaul’ dengan orang yang berfikiran seperti kita. Lama-kelamaan kita mula percaya bahawa kumpulan kita sentiasa betul. Di situlah peleburan identiti menjadi semakin kuat.

Bagi saya, kita seharusnya berpandangan lebih luas dan lebih terbuka untuk melihat serta mendengar pandangan yang berbeza. Dari situlah kita boleh menilai dan membuat perbandingan. Itulah yang membentuk kematangan dalam membezakan antara diri peribadi kita dengan apa yang kita sokong.

Dalam konteks yang saya tampilkan ini, iaitu politik, kita seharusnya mampu menerima bahawa parti yang kita sokong juga adakalanya melakukan kesilapan. Kita juga perlu berani mengakui bahawa ada strategi yang salah dan ada pemimpin yang tidak sesuai memegang sesuatu portfolio kementerian. Bukan mempertahankannya secara membuta tuli walaupun terang-terang dia gagal menyerlah.

Penyokong yang matang bukanlah orang yang mempertahankan setiap tindakan pemimpinnya tetapi berani menegur pemimpinnya apabila mereka tersilap. Mengkritik kelemahan bukan bererti mengkhianati kumpulan sendiri. Sebaliknya, itulah tanda kita masih mampu berfikir sebagai individu. Silapnya kita, apabila seseorang mengkritik idea, kita segera menyangka dia sedang mengkritik peribadi. Padahal idea dan dasar boleh salah manakala keputusan pun adakalanya tak tepat. Tetapi itu tidak semestinya menjadikan manusia yang membawanya turut tidak bernilai.

Penyakit ‘identity fusion’ yang serius inilah yang membantutkan kemajuan kita. Sedikit perbezaan pandangan akan dianggap sebagai permusuhan sedangkan masyarakat yang sihat memerlukan perbezaan pandangan untuk terus berkembang. Mentaliti paling teruk ialah apabila kita mengkritik parti A, mereka menyangka kita orang parti B dan begitulah sebaliknya. Dunia mereka sempit seolah-olah dalam dunia ini hanya ada dua kumpulan sahaja iaitu kumpulan mereka dan satu lagi sekumpulan musuh mereka. Pada mata mereka pihak lain tak wujud.

Bagi saya jika hendak menyokong sesuatu, sokonglah dengan rasional tapi tak usahlah sampai menjadi hamba kepada apa yang kita sokong. Saya sendiri dahulu pernah bergerak aktif dalam sebuah parti politik tetapi kini memilih untuk tidak lagi beria-ia. Apabila saya merasakan aspirasi dan hala tuju parti tidak lagi seiring dengan apa yang saya pegang, saya memilih untuk berundur. Tidaklah sampai heboh umum keluar parti tetapi diam dan tidak menggerakkan apa-apa pun lagi.

Namun, saya tidak sesekali memutuskan hubungan dengan kawan-kawan di dalamnya. Bagi saya, pandangan dan fikiran boleh berbeza, tetapi persahabatan harus diteruskan. Saya tidak mahu identiti saya melebur sehingga saya tidak lagi menjadi diri saya sendiri tetapi bercampur-aduk menjadi sebuah parti politik. Politik bagi saya, atau bidang apa sekalipun boleh menjadi sesuatu yang selalu kita fikirkan tentangnya setiap masa, namun ia tidak perlulah mengambil alih sepenuhnya diri kita. Akibatnya kita sendiri akan susah nanti. Hendak ke suatu tempat, harus mencongak dulu takut kalau-kalau tak sesuai dengan ideologi parti. Hendak duduk semeja dengam sesiapa pun, takut.

Ada beberapa kawan saya sendiri, dalam acara penting hidupnya seperti perkahwinan – dia terpaksa untuk tidak menjemput beberapa kawan baiknya kerana khuatir kehadiran mereka yang berada di kem lain nanti akan menimbulkan persepsi buruk sehingga mampu menggelapkan kerjaya politiknya. Kasihan juga saya dengan mereka ini. Mujurlah saya tidak pernah sampai jadi begitu.

Teringat bait kata pengacara rancangan Misteri Nusantara di TV3 dahulu, ‘jangan biarkan diri anda diselubungi misteri’. Untuk mereka yang telah terlalu melebur dalam parti sehingga boleh bercerai-berai, mungkin boleh juga kita tukar menjadi, ‘jangan biarkan diri kita melebur dalam politik.’ - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.