Naib presiden Umno berkata soal pelantikan menteri dan timbalan menteri merupakan kuasa perdana menteri.

Khaled yang juga naib presiden Umno, berkata terpulang kepada budi bicara Perdana Menteri Anwar Ibrahim memutuskannya.
“Kita tahu bahawa soal pelantikan-pelantikan menteri itu adalah budi bicara perdana menteri. Jadi tak payahlah dia (pemimpin PH) nak suruh mana-mana menteri (letak jawatan).
“Untuk lakukan letak jawatan dan sebagainya, dia cakaplah dengan ketua parti dia,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Pengenalan Calon dan Pelancaran Jentera BN DUN Johol sempena PRN Negeri Sembilan.
Terdahulu, Angkatan Muda Harapan (AMH) menyeru semua menteri dan timbalan menteri BN meletak jawatan daripada Kabinet susulan kerjasama terbuka parti itu dengan Perikatan Nasional (PN) di Johor dan Negeri Sembilan.
Gabungan sayap Pemuda Pakatan Harapan (PH) itu mendakwa perkembangan berkenaan menimbulkan persoalan terhadap komitmen sebenar BN dalam kerajaan perpaduan.
Sebelum ini, Anwar memberi amaran kepada menteri, timbalan menteri, dan pemegang jawatan agensi kerajaan berundur jika menggunakan kedudukan masing-masing untuk menyerang rakan dalam kerajaan perpaduan ketika berkempen pada PRN.
Semalam, Pengerusi BN Zahid Hamidi, berkata kerjasama politik yang mempertemukan calon BN dan PN pada PRN Negeri Sembilan disifatkan sebagai medan menguji formula penyatuan Melayu dan Islam, sekali gus berpotensi menjadi asas kepada jajaran politik baharu menjelang PRU16.
Mengulas gesaan perdana menteri supaya tiada menteri dan timbalan menteri menyerang rakan dalam kerajaan perpaduan, Khaled berkata, tiada keperluan membuat serangan melibatkan pimpinan pusat kerana pilihan raya berlaku di peringkat negeri.
“Kita percaya bahawa sebenarnya tak perlu (membuat serangan) kerana ini adalah pilihan raya peringkat negeri dan sewajarnya perkara-perkara yang ada kaitan terutamanya negeri dan hala tuju negeri.
“Jadi, memang tak sewajarnya ia menjadi platform untuk berlakunya serang menyerang. Jadi tak perlu nak menggunakan pendekatan yang boleh menyakitkan hati ataupun yang memburuk-burukkan antara satu dengan yang lain,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.