Penubuhan RCI langkah terbaik bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan bebas campur tangan eksekutif.


Ahli Parlimen Bachok, Syahir Che Sulaiman, berkata beliau bersama Ahli Parlimen PAS lain menyokong inisiatif digerakkan Bersih bagi menubuhkan RCI berhubung dakwaan itu.
“Kami mahu siasatan telus dan bebas campur tangan eksekutif. RCI adalah langkah terbaik,” katanya kepada FMT.
Syahir yang juga setiausaha politik presiden PAS berkata, jumlah 34 Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan setakat ini tidak semestinya mencerminkan pendirian sebenar Dewan Rakyat.
Katanya, terdapat Ahli Parlimen yang mungkin tidak sempat menandatangani memorandum itu kerana tidak berada di Parlimen ketika wakil Bersih mengumpulkan sokongan.
“Ahli Parlimen yang tidak tandatangan mungkin tidak sempat atau tidak berada di Parlimen ketika NGO itu datang untuk mengumpul tandatangan,” katanya.
Pada 16 Julai, Bersih mendakwa memperoleh sokongan 34 daripada 222 Ahli Parlimen bagi penubuhan RCI untuk menyiasat dakwaan ‘mafia korporat’ membabitkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz, berkata sokongan itu membabitkan wakil rakyat PAS (9), PKR (8), DAP (7), Bersatu (4), Amanah (2), serta masing-masing seorang daripada Umno, STAR, Upko dan Wawasan.
Katanya yang juga wakil sekretariat #RCINOW, sokongan merentas parti itu membuktikan isu integriti institusi, pembanterasan rasuah dan akauntabiliti kerajaan bukan agenda mana-mana parti politik, sebaliknya melibatkan kepentingan awam.
Beliau turut memberi tempoh sehingga 30 Julai kepada semua Ahli Parlimen untuk menyatakan pendirian masing-masing sebelum senarai penuh diterbitkan pada 3 Ogos.
Pengarah Eksekutif Bersih, Asraf Sharafi, juga berkata pihaknya menyasarkan sokongan sekurang-kurangnya 112 Ahli Parlimen bagi menunjukkan cadangan penubuhan RCI itu mendapat perhatian meluas.
Sebelum ini, sekretariat itu menyerahkan memorandum kepada Parlimen bagi menggesa kerajaan menubuhkan RCI untuk menyiasat dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’, yang didakwa menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti institusi penguatkuasaan negara.
Dakwaan ‘mafia korporat’ mula muncul dalam laporan Bloomberg yang menyatakan rangkaian ahli perniagaan dan pegawai SPRM menggunakan serbuan serta siasatan untuk menekan eksekutif menjual saham dalam syarikat disasarkan, mendorong gesaan supaya siasatan menyeluruh membabitkan pelbagai agensi dijalankan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid, turut menyokong cadangan RCI dan berkata siasatan bebas perlu dijalankan supaya polemik berhubung dakwaan berkenaan dapat dijelaskan kepada rakyat.
Rosol mencadangkan sekretariat #RCINOW berhubung dengan ketua whip atau ketua pembangkang bagi memudahkan penyebaran maklumat kepada Ahli Parlimen.
“Mungkin sekretariat boleh berjumpa ketua whip atau ketua pembangkang supaya maklumat dan desakan itu dapat disebarkan dengan lebih cepat, contohnya melalui WhatsApp,” katanya yang kini digantung Bersatu. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.