Penganalisis berkata kenyataan 'lebih daripada kahwin' bagi membentuk persepsi kerjasama PN-BN sudah wujud walaupun belum dimeterai secara rasmi.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, kenyataan itu bukan sekadar retorik, sebaliknya bagi membentuk persepsi kerjasama PN dan BN sudah wujud walaupun belum dimeterai secara rasmi.
Penganalisis dari Global Asia Consulting berkata, hakikat bahawa Hadi turut menyatakan kerjasama rasmi akan dimuktamadkan dan dinilai dari semasa ke semasa menunjukkan kedua-dua pihak sengaja mengekalkan ruang untuk bergerak secara fleksibel.
“Namun, persoalan paling penting bukan sama ada pengantin bersetuju, tetapi adakah anak-anak menerima perkahwinan baharu ini? Dalam politik, anak-anak ialah akar umbi, pemimpin bahagian dan penyokong tegar yang selama puluhan tahun diasuh dengan naratif bahawa pihak satu lagi ialah lawan politik.
“Elit boleh berjabat tangan, tetapi memori politik penyokong tidak semudah itu dipadamkan. Perkahwinan politik tanpa restu keluarga lazimnya lebih rapuh daripada perkahwinan itu sendiri,” katanya kepada FMT.
Semalam, Hadi menyifatkan kerjasama PN dan BN ‘lebih daripada berkahwin’ justeru gabungan tersebut akan saling membantu dalam kempen di PRN Negeri Sembilan.
Katanya, kerjasama rasmi PN-BN akan dimuktamadkan dan dinilai dari semasa ke semasa.
Manakala, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, pula berkata kerjasama dan kesefahaman antara BN dan PN di Negeri Sembilan membuka ruang dan peluang kepada kemenangan di semua DUN ditandingi gabungan tersebut.
BN-PN masing-masing bertanding di 25 dan 11 kerusi daripada 36 DUN Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut, Zaharuddin berkata kerjasama tidak rasmi memberi kelebihan dari sudut penyelarasan jentera dan mengelakkan pertandingan sesama sendiri, namun pada masa sama boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengundi.
“Kenyataan bahawa kerjasama rasmi akan dinilai dari semasa ke semasa menunjukkan Negeri Sembilan sedang dijadikan makmal politik. Jika eksperimen ini meningkatkan sokongan, ia boleh berkembang menjadi model kerjasama menjelang PRU16.
“Jika gagal, kedua-dua pihak masih mempunyai ruang untuk berkata bahawa mereka tidak pernah benar-benar berkahwin. Hakikatnya, kenyataan Hadi bukan sekadar metafora romantik. Ia adalah ujian pasaran terhadap penerimaan pengundi terhadap sebuah gabungan baharu,” katanya.
Persefahaman lebih jelas
Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berpandangan kenyataan Hadi mencerminkan peningkatan tahap kerjasama yang sebelum ini sudah diuji secara tidak rasmi di Johor.
Katanya, kejayaan kerjasama PAS dan Umno di negeri itu menjadi faktor mendorong kedua-dua pihak menampilkan persefahaman lebih jelas dalam PRN Negeri Sembilan.
“Kalau kita tinjau pengorbanan oleh kedua-dua pihak, BN yang tidak bertanding 36 kerusi dan PAS hanya bertanding kerusi tidak ditandingi oleh BN. Ini menunjukkan persefahaman begitu nyata antara kedua-dua gabungan ini,” katanya.
Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan kedua-dua pihak sanggup berkompromi demi mencapai matlamat bersama membentuk kerajaan negeri.
Bagaimanapun, beliau berpandangan model kerjasama itu tidak semestinya boleh diterapkan di semua negeri kerana landskap politik setiap negeri berbeza.
“Tapi, hakikatnya ia bergantung kepada negeri kerana suasana Johor, Negeri Sembilan, Melaka itu amat berbeza dan memerlukan pengorbanan antara kedua-dua parti ini.
“Seperti dipamerkan di Johor, kerjasama ini membuahkan hasil positif kepada BN. Sebab itu di Negeri Sembilan, PAS menyatakan lebih awal mereka mahu menyertai kerajaan negeri. Jadi, pengorbanan PAS mungkin dikatakan berbaloi bila gabungan antara BN dan PAS membentuk kerajaan negeri,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.