Calon Parti Orang Asli Malaysia Dayana Dal mahu jadi wakil rakyat kepada semua kaum.

Calon Parti Orang Asli Malaysia (Asli) berkata, latar belakangnya sebagai suri rumah dan mewakili parti kecil tidak mematahkan semangat untuk membawa suara masyarakat setempat.
“Perjuangan saya bukan hanya untuk Orang Asli, tetapi semua masyarakat di Jeram Padang. Saya tidak akan memilih kasih kerana kawasan ini dihuni pelbagai kaum,” katanya kepada FMT.
Anak jati Jeram Padang itu berkata, antara keutamaannya adalah menaik taraf jalan raya, membaik pulih rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang uzur serta menyelesaikan isu bekalan air bersih di 11 kampung Orang Asli.
Ibu tiga anak itu berkata, keputusan menceburi politik didorong keinginan melihat masyarakat Orang Asli menikmati kehidupan lebih baik.
“Kami mahu perubahan dan mahu berdiri sama tinggi serta duduk sama rendah dengan masyarakat lain.
“Walaupun kami daripada parti kecil, tidak mustahil untuk membuat kejutan. Jika diberi kepercayaan, saya akan membuktikan seorang wakil rakyat Orang Asli juga mampu berkhidmat untuk semua,” katanya.
Dayana akan berdepan pertandingan empat penjuru di DUN Jeram Padang membabitkan penyandang Barisan Nasional Zaidy Abdul Kadir, calon Pakatan Harapan G Manivannan, dan R Sri Sanjeevan daripada Bersatu.
Pada PRN 2023 Zaidy menang kerusi itu dengan majoriti 693 undi. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.