`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Wednesday, July 22, 2026

Isu KWAP: Anwar tak perlu letak jawatan menteri kewangan

 Ahli Parlimen DAP berkata tuntutan ketua Pemuda PAS tidak munasabah kerana tiada bukti menunjukkan perdana menteri terlibat secara langsung dalam keputusan pelaburan.

Chong Zhemin cabar Afnan Hamimi Taib Azamudden kemuka bukti kepada SPRM jika ada maklumat Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan pelaburan, campur tangan dalam proses usaha wajar, menerima manfaat atau menghalang siasatan.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak perlu meletakkan jawatan sebagai menteri kewangan susulan kerugian pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat eFishery, kata Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin.

Beliau berkata, tuntutan Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden supaya Anwar berundur adalah tidak munasabah kerana tiada bukti menunjukkan perdana menteri terlibat secara langsung dalam keputusan pelaburan, campur tangan politik atau sebarang salah laku.

Sebaliknya, Chong daripada DAP berkata, kerugian RM163.4 juta itu berpunca daripada manipulasi kewangan yang disengajakan dan penyataan palsu oleh pengurusan eFishery.

“Menjadikan penipuan korporat antarabangsa ini sebagai satu lagi gimik politik untuk mendesak peletakan jawatan langsung tidak membantu melindungi dana awam atau memperbaiki tadbir urus,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Afnan menggesa Anwar meletakkan jawatan sebagai menteri kewangan susulan kontroversi pelaburan KWAP dalam syarikat pemula teknologi akuakultur, eFishery yang dikaitkan dengan penipuan korporat.

Afnan berkata, Anwar perlu bertanggungjawab atas kegagalan memastikan tadbir urus institusi kewangan negara berada pada tahap yang sewajarnya.

Selain itu, Chong turut merujuk skandal Enron di Amerika Syarikat (AS) sebagai contoh bagaimana manipulasi kewangan masih boleh berlaku walaupun syarikat terbabit diaudit oleh firma perakaunan terkemuka.

Beliau berkata, di bawah kerangka tadbir urus KWAP, semua keputusan pelaburan dikendalikan Panel Pelaburan, manakala menteri kewangan hanya bertanggungjawab terhadap penyeliaan institusi dan bukan meluluskan setiap transaksi pelaburan secara peribadi.

Menurutnya, Anwar juga telah menyokong siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mengarahkan KWAP memberi kerjasama penuh serta memperkukuh kerangka pelaburan pasaran swasta selain berusaha mendapatkan semula dana yang hilang.

“Jika siasatan membuktikan berlaku kecuaian, salah laku atau rasuah oleh mana-mana pihak, tindakan tegas perlu diambil tanpa mengira kedudukan.

“Keputusan menggantung atau menyingkirkan mana-mana individu tidak boleh dibuat semata-mata berdasarkan tekanan politik, sebaliknya mestilah berasaskan bukti,” katanya.

Beliau turut mencabar Afnan mengemukakan bukti kepada SPRM sekiranya mempunyai maklumat bahawa Anwar mengarahkan pelaburan itu, campur tangan dalam proses usaha wajar, menerima manfaat atau menghalang siasatan.

“Jika tiada bukti sedemikian, beliau perlu berhenti mempolitikkan kebimbangan sah para pesara,” katanya.

Katanya, keutamaan ketika ini ialah menentukan fakta sebenar, mendapatkan semula sebanyak mungkin dana pelaburan, memperkukuh perlindungan KWAP serta memastikan pihak yang benar-benar bersalah dibawa ke muka pengadilan.

Khamis lalu, Kementerian Kewangan menerusi jawapan bertulis di Parlimen mengesahkan KWAP menjadi mangsa penipuan terancang dalam pelaburan berkenaan susulan manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan eFishery, sebuah syarikat teknologi akuakultur Indonesia.

KWAP dilaporkan melabur USD47.7 juta dalam eFishery pada Julai 2023. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.