`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Friday, August 7, 2026

Kerajaan Madani seimbang jaga kepentingan semua kaum, aliran pendidikan

 PM Anwar Ibrahim berkata, pemberian bantuan kepada institusi pendidikan Islam bukan bermakna kerajaan abai sekolah vernakular.

PM Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Karnival Gelombang Madani Masjid Tanah di Alor Gajah hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan Madani akan terus memastikan keperluan semua kaum dan aliran pendidikan di negara ini diberi perhatian secara seimbang tanpa meminggirkan mana-mana pihak.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, pemberian bantuan kepada institusi pendidikan Islam bukan bermakna kerajaan mengabaikan sekolah vernakular, sebaliknya peruntukan kepada sekolah Cina dan Tamil yang telah diluluskan akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Negara ini kalau nak aman, kena bagi dan jaga semua. Anak-anak sekolah pondok, maahad tahfiz, ramai yang terbiar, tak ada bantuan, maka kita tingkatkan bantuan.

“Jadi sekali lagi saya tekankan, untuk program dan bantuan sekolah Cina dan Tamil, kita bagi dah jadual dalam dua minggu lagi diumumkan di Kuala Lumpur,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Gelombang Madani Masjid Tanah di Alor Gajah hari ini, yang turut dihadiri isteri beliau, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pendekatan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan setiap lapisan masyarakat menerima perhatian sewajarnya, sekali gus mengekalkan keamanan dan keharmonian negara yang berbilang kaum serta agama.

Katanya, Malaysia menjadi contoh negara majmuk yang berjaya mengekalkan perpaduan apabila rakyat daripada pelbagai latar belakang dapat hidup dalam suasana saling menghormati.

“Kita ini aman. Bayangkan, ada Cina, ada India dan ramai juga Melayu di sini, ada sekolah agama, maahad tahfiz, tapi dengan aman. Orang hormat satu sama lain,” katanya.

“Kalau di negeri dan negara lain, susah. Negara yang pelbagai kaum nak berhimpun macam ini, kerana syak wasangka, benci, tak percaya dan ada permusuhan. Akhirnya negara jadi korban.”

Dalam pada itu, beliau turut mengulas konsep ‘ummatan wasatan’ yang terkandung dalam Surah Al-Baqarah ayat 143 dengan berkata, umat Islam perlu menjadi masyarakat yang seimbang dari segi keimanan, ilmu, akhlak serta hubungan sesama manusia dan alam sekitar, agar mampu menjadi contoh terbaik kepada seluruh masyarakat.

“Kalau betul perangai kita baik, akhlak kita baik, negeri kita bersih daripada penyelewengan dan rasuah, hubungan kita dengan orang Islam baik, hubungan kita dengan orang bukan Islam kita hormati, dengan persekitaran, bukit-bukau, pohon-pohon tidak kita musnahkan dengan sesuka hati, baru kita seimbang.

“Inilah baru menjadikan kita ini contoh kepada manusia. Nak tengok bersih, tengok kita. Nak tengok tidak rasuah, tengok kita. Nak tengok perjalanan negeri yang cekap, tengok kita sebagai contoh. Ini yang disebut contoh yang baik. Bukan benci dan permusuhan, bukan menghina orang,” katanya.

Anwar berkata, usaha memperkasakan institusi pendidikan Islam turut dipertingkatkan sejak pembentukan kerajaan perpaduan, selepas bantuan kepada sekolah agama rakyat pernah dihentikan sebelum ini.

Tambahnya, selepas kerajaan perpaduan dibentuk pada 2022, beliau mula menyambung bantuan pada 2023 dan mempertingkatkannya pada 2024.

“(Kita) baiki sekolah pondok, bagi latihan AI dan komputer di sekolah pondok … Kalau tidak, kita ada sekolah lain seperti sekolah Cina, sekolah Tamil yang diurus baik, sekolah pondok ketinggalan. Tak boleh,” katanya.

Pada majlis sama, perdana menteri mengumumkan peruntukan keseluruhan RM1.29 juta bagi membaik pulih insfrastruktur 13 institusi pendidikan Islam di Melaka.

Antara institusi yang menerima peruntukan termasuk Madrasah Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Kota Melaka (RM250,000); Sekolah Rendah Arab Jabatan Agama Islam Melaka Pernu (RM200,000); Sekolah Menengah Arab Al-Ahmadiah Al-Syafi’iyah Sayyidina Khadijah, Jasin (RM160,000); Sekolah Agama Rakyat Durian Tunggal (RM140,000); dan Sekolah Agama Rakyat Taman Maju (RM100,000). - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.