Anggota Dewan undangan negeri (Adun) Kuala Sentul daripada Bersatu, Jasri Jamaludin mempelawa PAS meletakkan calon mereka di kerusi dewan undangan negeri (DUN) itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Dia berkata, kenyataan Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar pada Jumaat lalu mengenai hasrat parti itu bertanding di kerusi DUN berkenaan disambut baik oleh pimpinan Bersatu Pahang.
"Kita amat mengalu-alukan mereka datang dan bertanding di Kuala Sentul dan Lepar, tidak ada masalah.
"Datanglah (bertanding) dengan menggunakan logo PAS," katanya yang juga Timbalan Ketua Bersatu Pahang kepada Malaysiakini.
Selain Kuala Sentul, kerusi DUN Lepar diwakili Ketua Bersatu Pahang, Mohd Yazid Yunus.
Rosli pada 25 Sept lalu mendakwa kemenangan di kerusi DUN Kuala Sentul dan Lepar pada PRU lalu adalah disebabkan jenama PN.
Dia yang juga Adun Tanjung Lumpur berkata, selepas krisis dalaman Bersatu dan PAS di peringkat PN, kedua-dua Adun terbabit mengumumkan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan Pahang diterajui Wan Rosdy Wan Ismail pada 26 Ogos lalu.
"Jadi apabila mereka umum menyokong kerajaan Pahang, ia bererti parti apa pun berhak untuk bertanding di situ.
"Apatah lagi sebahagian besar jentera yang bertugas untuk kemenangan PN di kerusi tersebut pada PRU lalu adalah jentera PAS, maka kita ambil keputusan untuk meletakkan calon PAS di situ," kata Rosli.
Dia juga memberitahu PAS sudah ada calon yang bersedia untuk bertanding di kerusi DUN tersebut.
Katanya, PAS Pahang yakin pengundi di kedua-dua kawasan DUN berkenaan akan memberi undi kepada calon daripada parti itu, dengan mengambil kira prestasi semasa wakil rakyat PAS di peringkat Parlimen dan DUN di Pahang.
Pada PRU15, PN dan BN mendapat 17 kerusi DUN, sebelum BN bekerjasama dengan PH untuk menubuhkan kerajaan negeri.
Bagaimanapun kerusi milik PN cuma tinggal 15 selepas dua Adun Bersatu memilih untuk menyokong kerajaan Pahang pada Ogos lalu. - Mkini

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.