SMKA Jempol dibina dengan kos RM98 juta itu dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, berkata sekolah berkenaan dibina dengan kos RM98 juta di atas tapak seluas 14.22 hektar bagi tempoh tiga tahun menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Kalau sebelum ini TVET hanya di kolej vokasional ataupun sekolah-sekolah biasa, tapi kita akan bawa model TVET ini ke SMKA ini. Jadi SMKA Jempol, insyaallah akan menjadi SMKA pertama menggunakan ataupun membawa model sekolah agama TVET.
“Saya berharap projek ini dapat disiapkan ikut tempoh ditetapkan dan kita boleh segera bangunkan pendidikan TVET memenuhi keperluan bukan sahaja keperluan industri, tetapi juga keperluan negara ketika ini,” katanya menurut Bernama selepas menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan SMKA itu, di Jempol.
Fadhlina berkata, sekolah berasrama penuh itu dilengkapi dengan blok pentadbiran dan akademik dengan 25 bilik darjah, selain makmal, bengkel, perpustakaan, dewan, kantin dan surau, serta asrama yang boleh memuatkan 720 murid.
Dalam pada itu, beliau berkata pelajar sekolah agama di negara ini juga digalak menguasai pelbagai bahasa sebagai medium penting memperkukuh agenda dakwah yang lebih berkesan.
Mengambil contoh SMKA Sheikh Tahir Jalaluddin di Pulau Pinang yang diangkat sebagai ‘sekolah dakwah’ pertama di Malaysia, Fadhlina berkata, pelajarnya diberi pendedahan menguasai bahasa Cina, Tamil, Inggeris, dan Arab, selain bahasa Melayu.
“Anak-anak sekolah agama ini dah pastinya mereka akan menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa utama. Dalam masa yang sama, mereka juga mesti diberikan penekanan tentang bahasa-bahasa lain.
“Kita melihat ada keupayaan anak-anak ini untuk menguasai lebih daripada satu bahasa. Bahasa adalah antara lenggok yang mesti dikuasai untuk menyampaikan soal-soal yang terkait dengan dakwah, dan penerangan-penerangan tentang Islam secara lebih berkesan,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.