`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, July 14, 2017

DAP dipinggirkan, PH ‘tak sama BN’, kata Salleh

Menteri komunikasi itu mempersoalkan siapa yang mempunyai kata putus di antara 3 jawatan tertinggi.
salleh-keruak-pakatanPETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang diumumkan lewat malam tadi masih belum mampu menerajui negara seperti mana Barisan Nasional (BN).

“Biar apapun strategi pakatan pembangkang, kemunculannya tetaplah tidak sama dengan BN yang telah teruji kerjasama antara kaumnya dan sikap tolak ansur pemimpinnya tanpa mengabaikan prinsip-prinsip parti,” kata Menteri komunikasi dan multimedia itu dalam catatan blognya.
Beliau turut mempersoalkan siapa yang mempunyai kata putus dalam gabungan itu.
“Ini kerana antara 3 jawatan tertingginya — ketua umum, pengerusi dan presiden, tidak dinyatakan siapakah yang mempunyai kuasa eksekutif dan kata putus terakhir dalam pembuatan keputusan.”
Semalam, PH setuju melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir masing-masing sebagai ketua umum dan pengerusi gabungan 4 parti, sementara Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik menjadi presiden.
Tetapi Salleh berkata ia masih belum dapat memberikan keyakinan.
“Dengan barisan kepimpinan pakatan pembangkang yang sebegini, bolehkah kita memberi kepercayaan kepada mereka untuk menerajui negara? Tentunya tidak kerana masa depan negara bukanlah untuk diperjudikan,” katanya.
Menurutnya, adalah “pelik” apabila Dr Mahathir, yang membacakan kenyataan 2 muka surat PH semalam, masih mengelak daripada menjawab soalan wartawan mengenai calon perdana menteri.
Semalam, ditanya sama ada barisan kepimpinan itu bermakna Anwar menjadi pilihan untuk jawatan perdana menteri, Dr Mahathir berkata ia akan berlaku selepas beberapa halangan dikeluarkan, termasuk mendapatkan pengampunan diraja untuk bekas ketua pembangkang itu.
Mesyuarat yang dihadiri oleh hampir kesemua pimpinan tertinggi dari PKR, DAP, Amanah dan PPBM turut menyenaraikan 7 langkah yang akan dilakukan dalam masa 100 hari PH berkuasa, termasuk memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) terhadap 1MDB.
Bagaimanapun, Salleh berkata: “Daripada terus berjanji, adalah baik bagi pakatan pembangkang ini menamakan dahulu perdana menteri pilihan mereka.”
Salleh turut mendakwa barisan kepimpinan yang diumumkan semalam meminggirkan DAP “sedangkan DAP mempunyai bilangan Ahli Parlimen terbanyak dalam Pakatan ini”.
“Apakah DAP dipinggirkan atau ini sengajakan supaya pakatan ini dilihat sebagai didominasi oleh orang Melayu?” soalnya. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.