Seorang gadis nyaris menjadi mangsa rogol ketika berhenti untuk membuang air kecil di sebuah tandas milik sebuah stesen minyak di Batu 30, Machang Kelantan pada Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, wanita itu bersendirian ke tandas tersebut kerana kakaknya sedang bercakap di telefon.
Difahamkan ketika kejadian, tandas kosong kecuali salah satu daripada empat tandas itu berkunci.
Ketika mangsa masuk ke dalam tandas, tiba-tiba dia didatangi seorang lelaki yang memanjat dari tandas bersebelahan sebelum cuba merogolnya.
Menurut posting abang ipar kepada gadis itu yang menceritakan mengenai detik cemas tersebut, mangsa menjerit dan meronta-ronta untuk dilepaskan.
“Si h**** jadah tu dah cium, meraba semua… adik aku cuba telefon wife aku tapi telefon kena tepis si haram ni.
“Dalam keadaan bergelut tu, adik aku dapat gigit si h**** jadah tu, tapi dia dengan muka tak ada perasaan terus juga agenda merogol dia,” demikian menurut posting di Facebook yang menjadi tular pada Sabtu.
Suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah itu tidak memakai seluar dan hanya berbaju ketika melakukan perbuatan terkutuk tersebut.
Namun, gadis itu bernasib baik apabila jeritannya didengari seorang wanita yang kebetulan mahu menggunakan tandas.
Wanita itu kemudian bertindak mendapatkan bantuan dan seorang lelaki masuk ke dalam tandas tersebut.
Namun, suspek yang menggelabah selepas terdengar suara lelaki masuk ke dalam tandas itu bertindak memanjat semula ke tandas bersebelahan.
“Adik aku pun buka pintu tandas dan terus berlari keluar tanpa fikir apa-apa. Dengan muka pucat lesi adik aku berlari masuk ke dalam kereta. Tudung dah koyak, handphone dan cermin mata entah ke mana,” tulis abang iparnya.
Hasil tindakan pantas orang ramai, suspek dikepung dan ditangkap sebelum dibawa ke ibu pejabat polis daerah Machang.
Abang ipar gadis itu mendakwa mangsa mengalami trauma teruk susulan insiden tersebut dan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Pada masa sama, abang ipar mangsa turut mengingatkan wanita di luar sana supaya sentiasa berhati-hati semasa hendak ke tandas di mana-mana stesen minyak.
“Tolong teman adik-adik, akak, mak korang yang pergi ke toilet stesen minyak ke… RNR ke… masjid ke… jangan biar pergi berseorangan… Anda bayangkan adik aku yang umur 20-an pun boleh melawan sikit je. Kalau mak kita yang dah tua? adik-adik baru belasan tahun? aku tak tahulah jadi apa,” katanya. – mStar
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.