`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, July 5, 2017

Sayangnya mereka kepada PM dan isteri, Zaid hairan

Bekas menteri itu berkata ramai yang marah dengannya kerana mengkritik seorang juruterbang, tetapi tidak kisah dengan salah laku lebih besar.
zaid-ibrahim-rumah-terbuka
PETALING JAYA: Sikap rakyat Malaysia di musim hari raya yang baru berlalu menyerlahkan rasa tidak peduli mereka dengan pelbagai salah laku, dan ia sesuatu yang harus dikaji secara mendalam, kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim.
Zaid terkilan begitu ramai masih teruja dengan makanan percuma di rumah terbuka Aidilfitri di kediaman rasmi perdana menteri Seri Perdana, Putrajaya.
“Perasaan sayang mereka kepada PM dan isterinya adalah fenomena luar biasa yang mengelirukan orang asing. Ia memerlukan kajian mendalam. Pemerhatian rapi mengenai sikap orang Malaysia di sebalik nafsu tunai dan makan percuma, akan memberikan petanda keputusan pilihan raya akan datang,” kata Zaid.
Menurutnya, kehadiran ramai di rumah terbuka dianjurkan Datuk Seri Najib Razak itu menunjukkan umat Islam sudah tidak kisah mengenai salah guna kuasa “selagi mendapat makanan percuma”.
“Mereka marah bila saya cadangkan supaya juruterbang tidak mempelawa penumpang berdoa di waktu kecemasan,” kata Zaid, yang baru-baru ini dikecam kerana mempersoalkan juruterbang penerbangan AirAsia X D7237 dari Perth ke Kuala Lumpur, yang menyuruh penumpang berdoa ketika pesawat bergegar teruk selepas mengalami kerosakan salah satu enjinnya pada 25 Jun lalu.
“Mereka menuduh saya mengabaikan Tuhan. Saya tertanya-tanya sama ada label itu lebih sesuai terhadap mereka yang tidak percaya laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat tetapi sukakan makanan percuma,” tulis Zaid dalam blognya hari ini.
Beliau menganggarkan sekurang-kurangnya RM5 juta dibelanjakan untuk menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Kabinet di Seri Perdana pada 25 Jun lalu.
Sambil berharap acara besar-besaran seperti itu tidak ditiru pembangkang kelak melainkan “mereka bayar daripada poket sendiri”, Zaid tidak menafikan ia adalah gambaran populariti Najib dan bukan makanan semata-mata.
“Saya kagum, ketika pelbagai skandal dan ‘berita palsu’ dilontarkan ke arahnya, beliau masih disayangi dan dihormati. Saya dengan ini menilai semula ramalan keputusan pilihan raya berdasarkan sambutan besar di rumah terbuka itu.
“Mungkin saya perlu menilai jiwa rakyat Malaysia amnya, kesemua mereka, daripada rakyat biasa kepada profesor universiti,” kata Zaid.
Zaid turut kesal dengan kandungan khutbah hari raya yang masih mengulangi perkara sama.
“Khutbah raya di masjid yang saya kunjungi tidak langsung menyentuh mengenai sikap ummah. Ia bercakap mengenai kekuasaan dan kasih sayang Allah, sesuatu yang kita semua tahu,” katanya. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.