`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, September 30, 2017

APA JADI BILA ‘DEDAK’ DISUMBAT PULA KE HIDUNG… MAMPUS, KATA DR M

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat mengenai ‘jenis-jenis’ kepimpinan Umno sekarang dan mahu rakyat menolak mereka dalam pilihan raya umum yang akan datang.
Ini kerana mereka masih mempercayai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak secara membuta tuli, katanya merujuk kepada perbualannya dengan seorang menteri.
“Saya jumpa dengan seorang menteri. Saya tak nak sebut nama dia. Saya tanya ‘eh Shahidan… ah, tersilap-silap, saya bukan nak sebut nama dia…,” kata Mahathir dalam satu ceramah di Pulau, Johor malam tadi.
Menurut Mahathir beliau bertanya kepada menteri itu mengapa dia masih ikut (Najib) sebagai pemimpinnya.
Mahathir merujuk kepada Tan Sri Shahidan Kassim, bekas menteri besar Perlis dan kini menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri.
“Jawab Shahidan ‘dak, dia tak ambik apa pun’. Katanya Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali kata dia tak ambik (wang). Jadi dia percaya kepada Apandi
“jadi, kalau ada pemimpin boleh percaya seseorang yang dilantik khusus untuk menyelamatkan Datuk Seri Najib, kita tahulah jenis-jenis kepimpinan Umno yang ada sekarang. Semuanya tutup mata, tutup telinga, tutup mulut,” kata Mahathir.
Kata Mahathir pemimpin berkenaan yang menjadi menteri dan timbalan menteri, semuanya disumbat dengan dedak ke dalam mulut, telinga dan mata.
Tidak lama lagi, dakwanya, Najib akan menyumbat ‘dedak’ ke dalam hidung mereka.
“Apabila dedak masuk hidung apa jadi? mampus. itulah yang akan berlaku kepada mereka.
“Mereka yang sayang kepada negara, yang nak menyelamatkan negara, bagi mampus semua ni. Jangan undi mereka sama sekali. Kalahkan BN, kalahkan Umno dan pemimpin Umno, termasuk Datuk Seri Najib,” tegasnya.
Sementara itu, Mahathir berkata, Johor sudah lama dikenali sebagai kubu kuat Umno kerana di negeri itulah parti berkenaan ditubuhkan sebagai satu gerakan untuk menyelamatkan negara dari British sebelum kemerdekaan.
Sekarang, katanya, di Johor jugalah pihaknya berhasrat untuk memulakan satu gerakan untuk menyelamatkan negara daripada rasuah.
Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang merupakan pengerusi Pakatan Harapan Johor, sebelum itu bersetuju mengenai pentingnya Johor dalam pilihan raya umum akan datang, dan menyifatkannya sebagai “negeri barisan hadapan”.
“Jika Johor jatuh (kepada Pakatan Harapan), maka BN akan jatuh dan kita boleh mengambil alih Putrajaya,” katanya.
Bekerjasama dengan bekas saingan
Sementara itu, Mahathir juga cuba mengikis kebimbangan orang Melayu terhadap DAP dan menegaskan bahawa beliau adalah orang yang memulakan persepsi terhadap DAP sebagai “parti chauvinis Cina”, tetapi ia hanya kerana pada masa itu, beliau menjadi musuh mereka.
“Yalah bila kita bermusuh dengan orang, tak kan kita kata orang itu cantik, orang itu baik.
“Tetapi sekarang ni saya duduk tepi dia, tak la buruk sangat, boleh tahan la.
“Gambaran atau imej yang saya ciptakan untuk DAP ni tidak begitu benar, tak betul.
“Kerana dalam DAP ada berbilang kaum dan dalam mesyuarat mereka, mereka terpaksa guna bahasa kebangsaan,” katanya.
Beliau juga menyentuh tentang kebimbangan bahawa HARAPAN mungkin melantik seseorang daripada DAP sebagai perdana menteri jika mereka menawan Putrajaya, dan Mahathir mengatakan ia tidak mungkin.
DAP pun, katanya, mengakui bahawa komuniti orang Cina adalah minoriti dan tidak mungkin menjadi perdana menteri.
Lagi pun, tambahnya, tiga lagi parti dalam HARAPAN dipimpin oleh pemimpin Melayu, “jadi tidak mungkin mereka paksa atas kita supaya mereka dilantik menjadi perdana menteri.”
“Saya bekerjasama dengan Kit Siang ini sudah lama dan saya dapati dia bukanlah anti-Melayu. Tapi dia perjuangkan tentang nasib orang-orang dari kaum dia lah. Sepertimana saya berjuang untuk kaum Melayu pasal saya Melayu,” kata Mahathir.
Majlis itu dihadiri oleh kira-kira 3,000 orang. Pelancaran Pakatan Harapan Johor diserikan dengan pertunjukan bunga api dan lagu parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Pulai, di mana majlis itu berlangsung, kini merupakan kerusi BN yang diwakili oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, yang menang dengan majoriti 3,226 undi dalam pilihan raya umum lepas.
– M’kini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.