`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, September 4, 2017

Keperitan hidup kerana membawa taraf ‘anak luar nikah’

Aktivis mempersoalkan peraturan anak luar nikah dibinkan dengan 'Abdullah'.
Muslims-born-out-of-wedlock-malaysiaPETALING JAYA: Umat Islam lahir dengan taraf “luar nikah” mengeluh dengan masalah yang dihadapi mereka kerana pihak berkuasa melarang mereka dibinkan dengan nama bapa kandung, menurut laporan akhbar South China Morning Post (SCMP).
Faisal Abdullah, 24, berkata ibunya disisihkan keluarga kerana tidak berkahwin dengan bapa kandungnya.
Katanya, ketika membesar, dia sentiasa diingatkan tidak menggunakan nama bapanya atau mewarisi harta pusaka.
“Sepupu saya ketawakan saya. Kanak-kanak lain di sekolah tahu ‘Abdullah’ di hujung nama saya bermakna saya anak luar nikah dan mereka selalu mengejek saya,” katanya.
Akhbar itu turut memetik aktivis hak kanak-kanak, Hartini Zainudin, yang menceritakan kisah seorang gadis berusia 23 tahun yang mendapati permohonan kewarganegaraannya ditolak kerana dia anak luar nikah. Ibunya warga Indonesia, manakala bapanya rakyat Malaysia.
Hartini berkata tekanan yang dihadapi gadis itu menyebabkan dia sanggup mempertimbangkan jalan bunuh diri.
“Gadis yang menulis kepada saya sentiasa dalam ketakutan sekiranya dia ditahan dalam serbuan polis kerana dia tidak mempunyai dokumen – bahkan pihak berkuasa memintanya ke kedutaan Indonesia untuk memohon pasport, sedangkan dia rakyat Malaysia,” katanya.
Pada Julai, Mahkamah Rayuan berkata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertindak di luar kuasanya apabila menggunakan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan seorang kanak-kanak Islam, bertentangan dengan hasrat ibu yang mahu menggunakan nama bapa kandungnya.
Dalam penghakiman bertulis, mahkamah turut mempertikaikan amalan mengenakan “bin Abdullah” kepada anak luar nikah.
Hakim berkata Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak membezakan antara kanak-kanak Islam dan bukan Islam.
Bagaimanapun pada 21 Ogos, mahkamah membenarkan JPN menangguh pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu penyelesaian kes di Mahkamah Persekutuan.
Dalam laporan SCMP, peguam syarie Nizam Bashir yang mewakili pasangan dari Johor itu berkata kanak-kanak tidak boleh dihukum berdasarkan apa yang dilakukan oleh ibu bapa mereka.
“Sampai bila-bila pun, kanak-kanak itu tidak bersalah.”
Hartini bersetuju dan berkata pihak berkuasa melihat isu itu daripada sudut agama sedangkan agama harus melindungi semua orang, terutama orang yang tidak berdosa.
“Apa salahnya membenarkan kanak-kanak itu menggunakan nama bapa biologi mereka?” soalnya.
Selain stigma yang terpaksa ditanggung oleh kanak-kanak itu, Hartini berkata mereka juga berdepan masalah lebih sukar seperti kurangnya akses ke sekolah awam dan penjagaan kesihatan bersubsidi.
Mereka juga tidak dapat mengakses perkhidmatan kesihatan awam, membuka akaun bank atau membeli harta. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.