`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, September 15, 2017

Orang agama bukan kebal, bekas menteri gesa tindakan ke atas pusat tahfiz

Ia susulan nada menteri perumahan semalam yang membayangkan tiada tindakan akan diambil ke atas Darul Quran Iftifaqiyyah walaupun beroperasi tanpa permit.
zainuddin-maidin
PETALING JAYA: Bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin mempersoalkan sikap kerajaan yang cuba melepaskan pihak pengurusan Darul Quran Iftifaqiyyah walaupun disahkan pusat tahfiz itu beroperasi tanpa kebenaran pihak berkuasa.
“Ada beranggapan pandangan golongan agama ini sentiasa betul dan disebabkan itu mereka kelihatan kebal. Mereka sedar pihak berkuasa tidak berani tidak mengambil tindakan terhadap mereka,” kata Zainuddin, mengulas kebakaran awal pagi semalam yang meragut 24 nyawa kebanyakannya pelajar di sekolah yang terletak di sebuah bangunan 3 tingkat di ibu negara.
Semalam, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar mengesahkan sekolah berkenaan beroperasi tanpa kelulusan sijil perakuan siap dan pematuhan, dan pelan seni bina yang diterima pihak bomba berbeza dengan reka bentuk sebenar sekolah itu.
Siasatan awal polis dan bomba turut menunjukkan pelajar terperangkap ketika api merebak disebabkan hanya satu laluan keluar. Polis juga tidak menolak kemungkinan kejadian itu disebabkan sabotaj.
Noh bagaimanapun berkata sekolah itu tidak akan dikenakan tindakan disebabkan penderitaan yang dialami mereka ketika ini.
Zainuddin berkata tindakan tegas perlu diambil terhadap pengetua pusat tahfiz itu dan mana-mana lagi sekolah tahfiz tidak berdaftar walaupun mereka dilihat sebagai “orang agama”.
Menurutnya, keengganan mengambil tindakan mungkin disebabkan motif politik.
“Apabila tindakan diambil, ia akan menimbulkan kerugian dari aspek tertentu seperti politik, kerana seolah-olah bertindak terhadap mereka yang mempunyai pengaruh agama,” katanya.
Zainuddin mempersoalkan sama ada sekolah tahfiz itu mendapat pengecualian.
“Sekolah tahfiz ini seolah-olah mendapat keistimewaan untuk menjalankan kelas. Apabila perkara ini dibiarkan tanpa tindakan tegas diambil, maka inilah akibatnya.
“Jika tindakan tegas diambil, pihak yang bercita-cita untuk mulakan kegiatan sekolah tahfiz tidak berdaftar ini tidak akan berani mulakan operasi dan mengaut keuntungan,” katanya kepada FMT.
Semalam, pengetua sekolah berkenaan, Muhammad Zahid Mahmod menyifatkan kematian pelajarnya itu sebagai mati syahid.
“Mereka sanggup tinggalkan ibu bapa, tinggalkan masakan air tangan bonda, adik beradik dan masa bermain tinggal di sini semata-mata untuk belajar agama. Mereka ini, insyaAllah, mati syahid,” Zahid, yang juga mengetuai Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (Pinta), memberitahu FMT semalam.
Zahid sebelum ini mempertahankan sekolah tahfiz daripada kritikan awam susulan insiden kematian pelajar Mohammad Thaqif Amin Mohd Gaddafi pada April lalu, di sebalik dakwaan kanak-kanak itu didera seorang pembantu warden. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.