`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, September 13, 2017

Saya silap sokong BN, kata pengerusi Hindraf

Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy berkata, kegagalan mencari persamaan dengan pembangkang memaksa pemimpin kumpulan hak asasi India itu bekerjasama dengan 'syaitan'.
waytha-bn
KUALA LUMPUR: Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy mendedahkan kegagalan mencari persamaan dengan pembangkang menyebabkan beliau menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.
Beliau mengakui ia adalah pilihan salah, selepas kumpulan hak asasi India itu berada dalam situasi yang menyebabkan pemimpinnya terpaksa bekerjasama dengan “syaitan”.
Waytha berkata, NGO itu tidak dapat mencapai persetujuan dengan Pakatan Rakyat (PR) ketika itu mengenai cara membantu masyarakat India, walaupun selepas lebih 20 mesyuarat.
“Jadi, walaupun kita tahu BN mungkin tidak mengotakan janjinya, kita tiada pilihan kerana Hindraf perlu menjaga golongan miskin dan kecil dalam masyarakat.
“Ia amat malang sekali,” katanya dalam forum bertajuk “Pakatan Menuju Putrajaya” yang dihadiri lebih 100 orang di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, malam tadi.
Turut hadir ialah ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.
Waytha merujuk memorandum persefahaman yang ditandatangani dengan parti pemerintah pada 2013 untuk membantu masyarakat India.
Katanya, jika Hindraf berkempen untuk PR, mereka sekarang sudah “berada di Putrajaya”, pusat pentadbiran Malaysia.
“Kita semua membuat kesilapan. Saya buat kesilapan, walaupun saya tidak tahu, saya telah meletakkan hak-hak komuniti India di atas sekeping kertas yang tidak dilaksanakan.”
Waytha berkata, Hindraf akan membuat permohonan rasmi menyertai Pakatan Harapan (PH) “dalam beberapa minggu akan datang,” selepas Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau belum menerima permohonan rasmi daripada NGO itu, selepas pertemuan dengan Hindraf berhubung hasratnya menjadi parti komponen ke-5 atau sekutu gabungan pembangkang itu, bulan lalu.
Sementara itu, Zaid berkata, Hindraf mahu menjadi sebahagian daripada PR pada 2013 dan menggesa PH perlu lebih inklusif.
Bekas menteri itu berkata, PH tidak patut mengulangi kesilapan PR.
“Pemimpin perlu mempertaruhkan (nasib mereka). Kita tidak boleh memadamkan masa silam, tetapi saya fikir kita boleh mula sekali lagi. Saya rasa Hindraf boleh memberi sumbangan besar.”
Hindraf atau nama penuhnya Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu, merupakan pergerakan kaum India yang terkenal dengan protes besar-besaran beberapa bulan sebelum PRU 2008.
Protes itu menjadi pencetus kepada peralihan sokongan politik pengundi berbangsa India kepada pembangkang, yang menyaksikan BN tewas di kerusi dengan penduduk kaum India yang ramai.
Bagaimanapun, Hindraf di bawah Waythamoorthy beralih sokongan kepada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak selepas persefahaman dengan BN pada kempen PRU 2013.
Beliau dilantik senator dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, tetapi meletak jawatan kurang setahun selepas itu kerana mendakwa BN gagal menunaikan janji membantu masyarakat India. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.