`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, December 10, 2017

Beza nasib Superman Hew dan Zaid Ibrahim

zaid-hew

Apa persamaan yang ada pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke-71 berbanding PAU ke-70?
Kedua-dua perhimpunan mendapat hadiah “peluru” politik istimewa daripada ketelanjuran ahli DAP dalam bertutur kata.
Pada PAU tahun lepas, video kontroversi berkisarkan kenyataan “screw orang Melayu” oleh bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau yang lebih dikenali sebagai Superman ditayangkan untuk tatapan umum.
Pada PAU tahun ini, Umno pula disajikan dengan kenyataan Datuk Zaid Ibrahim di akaun Twitter beliau berkenaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Kedua-duanya memberi keuntungan politik berlebihan kepada Umno, namun begitu terdapat perbezaan yang ketara di dalam reaksi DAP terhadap 2 peristiwa ini.
Ketika kontroversi Hew menjadi panas, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dilihat cuba mengurangkan “damage” terhadap DAP dengan menyatakan walaupun parti tidak bersetuju dengan nada dan cara kasar Hew menyampaikan mesejnya di ceramah, akan tetapi beliau menegaskan apa yang diperkatakan Hew bukanlah rasis.
Ketika disoal apakah DAP akan mengambil tindakan disiplin terhadap Hew, Kit Siang tidak menjawab.
Sejurus selepas video Hew ditayangkan di PAU 2016, Kit Siang terus tampil membelasah Umno dan menyoal apakah ada keperluan untuk menggunakan video tersebut untuk membina persepsi buruk terhadap DAP, sedangkan Hew bukan lagi ahli DAP. Hew yang masih aktif di pentas DAP meninggalkan parti itu ekoran insiden tersebut.
Bagaimana pula dengan kontroversi melibatkan Zaid, yang kemasukkannya dalam DAP dihadiri Kit Siang sendiri dan Tun Dr Mahathir Mohamad?
Setakat ini, tiada sepatah kata yang membela Zaid daripada DAP. Yang ada hanyalah kenyataan menjauhkan Zaid daripada DAP oleh Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua.
Pua berkata, Zaid perlu menanggung akibat sendiri daripada ketelanjuran kenyataannya terhadap Sultan Selangor.
“Ahli-ahli kami dibenarkan menyatakan pendapat mereka, tetapi mereka perlu menangani sebarang akibat yang timbul,” katanya sambil menegaskan kenyataan Zaid tidak ada kaitan dengan DAP kerana kenyataan itu tidak dibuat parti itu dan Zaid tidak memegang sebarang jawatan dalam DAP.
Selepas aksi ugutan terhadap beliau oleh Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, Zaid mula meluahkan rasa kecewanya selepas tiada pemimpin Pakatan Harapan yang disanjunginya tampil untuk membelanya.
“Nampaknya saya tiada kawan yang akan bersama saya dalam keadaan saya sekarang.
“Saya akan cuba jumpa TPM Zahid secepat yang boleh. Lagipun ini mengenai keselamatan nyawa saya dan keluarga saya,” tulis beliau di Twitter.
Memang patut Zaid terasa kecewa. Lihatlah sahaja perbezaan layanan DAP terhadap Hew dan beliau. Beliau akan faham siapa yang dilihat sebagai pemutar skru dan siapa ialah skru.
Siapa lagi sanggup menggunakan skru karat yang membawa ancaman tetanus kepada pemiliknya? Sudah tentu pemutar skru akan cari skru yang lain. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.