`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, December 30, 2017

Malaysia ialah semua kaum, agama di sini, kata Dr M

Dr Mahathir mengingatkan PPBM bahawa kerajaan yang mahu dibina harus mengekalkan keunikan kita, bersendikan adat, agama dan toleransi.
mahathir-demokrasi-malaysia-1
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengingatkan PPBM bahawa kerajaan yang mahu dibina harus mengekalkan keunikan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum, kepercayaan dan percampuran budaya.
Di mesyuarat agung pertama partinya di Shah Alam, presiden PPBM itu mengingatkan perwakilan bahawa budaya Malaysia hasil pergaulan antara pelbagai kaum, dan menyeru keunikan itu diteruskan.
“Budaya Malaysia sudah banyak berubah secara beransur-ansur sejak 60 tahun lebih kita merdeka,” kata Dr Mahathir, yang bergiat dalam politik sejak 1946, 70 tahun lalu.
“Kita punyai banyak budaya campuran hasil pergaulan kaum-kaum. Proses ini akan berterusan dan perlu menjadi unik kepada negara kita. Malaysia tidak boleh bertukar sehingga tidak lagi mencerminkan budaya berbagai kaum di Malaysia. Kita harus kekalkan slogan Malaysia ‘Truly Asia’ (Asia Sejati),” katanya.
Dr Mahathir dianggap sebagai seorang nasionalis kerana buku kontroversinya, “The Malay Dilemma”, serta sejarah panjang bersama Umno. Namun, sebagai perdana menteri (1981-2003) yang mentadbir sebuah negara yang sangat majmuk, Dr Mahathir lebih terkenal dengan agenda ketimuran, pemodenan dan perseteruan dengan parti Islamis, PAS.
Di situ Dr Mahathir menegaskan kepada perwakilan bahawa kebebasan beragama adalah hak rakyat.
“Janganlah kita menceroboh sesiapa dan cuba memaksa. Bagi orang Islam, paksaan dilarang. Ini disebut berkali-kali dalam Al-Quran. Bagi kita agama kita, bagi mereka agama mereka.”
Dalam masa yang sama, Dr Mahathir menekankan keutuhan Malaysia sebagai sebuah negara kerana adat resam, antaranya tidak boleh mengembangkan agama lain dalam kalangan orang Islam.
“Kekalkanlah adat ini kerana ia menjamin kestabilan, kebaikan dan keamanan di negara kita. Janganlah kerana kebebasan menjadi hak asasi manusia maka kita tidak pedulikan adat.
“Ingatlah kebebasan ada hadnya. Mengenepikan had ini akan mengundang ketidakstabilan dan mungkin rusuhan dalam negara tercinta ini.”
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata gabungan pembangkang akan menggariskan pendirian dan dasar mereka untuk apabila mereka mengambilalih pemerintahan negara pada pilihan raya umum ke-14.
PH terdiri daripada PPBM, sebuah parti yang bertunjangkan Bumiputera, PKR, sebuah parti reformasi, DAP, yang menguar-uarkan demokrasi sosial, dan parti Islamis, Amanah.
Mereka dijangka bertembung pertandingan 3 penjuru menentang BN dan PAS pada pilihan raya yang perlu dipanggil selewat-lewatnya pertengahan tahun depan. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.