`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, December 31, 2017

BERSATU ADALAH PARTI MASA DEPAN UNTUK MALAYSIA, ADAKAH UMNO MENYESAL MELULUSKAN PENDAFTARANNYA DAHULU?

KUALA LUMPUR.(from left) Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Dr Mahathir Mohammad and Dato Seri Mukhriz Mahathir raise their hand during Parti Pribumi Bersatu Malaysia first Anuual General Assembly at Ideal Convention Center, Shah Alam on 30 Disember 2017.MALAYMAIL/Azneal Ishak.
Sesiapa yang biasa hadir dalam Perhimpunan Agung UMNO sebelum parti itu tercemar dengan imej skandal dan kleptokrasi yang dibawa oleh Najib Razak, pasti dapat merasakan ia seolah-olah telah menjelma semula dalam Perhimpunan Agung Tahunan atau PAT Bersatu kali pertama yang diadakan di IDCC, Shah Alam hari ini.
Dengan kehadiran hampir 100 peratus perwakilan daripada 137 bahagian yang sudah diwujudkan, ditambah ribuan pemerhati yang turut hadir dan sebahagiannya tidak dapat memasuki dewan kerana tempat duduk yang terhad, disertai dengan semangat perjuangan membara untuk menyelamatkan negara bersama-sama Pakatan Harapan, PAT ini adalah satu lagi simbol kejayaan kepada Bersatu sebenarnya.
Jika sebelum ini ramai yang memperlekeh impian Bersatu untuk menyelamatkan negara sambil mengaitkannya dengan ketiadaan PAT sejak parti itu diluluskan oleh ROS lebih setahun yang lalu, segala kata-kata cemuhan itu kini terpadam dengan sendirinya.
Bukan saja kehadiran ribuan pewakilan dan pemerhati yang menjadi kebanggaan, lebih daripada itu ialah semangat yang ditunjukkan oleh mereka yang menghadirinya dengan tanggungan sendiri.
Dari wajah dan cara berbual sesama sendiri yang didengari di beberapa sudut di dalam dan di luar dewan, jelas terpancar keinginan yang tinggi di kalangan mereka untuk menyelamatkan negara ini daripada kerosakan yang diakibatkan oleh Najib, UMNO dan BN.
Dalam UMNO, semangat untuk menyelamatkan negara dan bangsa sudah tidak kedengaran lagi dalam PAU yang mereka adakan sejak tahun-tahun kebelakangan ini.
Kali terakhir semangat itu ada ialah ketika UMNO masih dipimpin oleh Tun Mahathir Mohamad dahulu. PAU sekarang sudah diganti dengan pujian dan ampuan untuk menyelamatkan Najib dengan harapan sesiapa yang berbuat demikian akan beroleh jawatan, kedudukan, kontrak atau dedak daripada pemegang kuasa di Perdana Putra.
Lantaran itu, tidak menghairankan jika UMNO sebenarnya amat bimbang dan takut dengan kemunculan Bersatu ini. Jika dalam PAT mereka sudah menunjukkan semangat dan keinginan yang tinggi untuk menyelamatkan negara, sudah pasti ia akan turut dijelmakan dalam kerja-kerja pilihanraya nanti.
Kata-kata semangat yang yang disampaikan oleh Tun Mahathir dan Muhyiddin Yassin dalam ucapan masing-masing pula cukup membanggakan dan dapat memberi suntikan semangat yang tinggi kepada ahli-ahli Bersatu di semua peringkat.
Jika dulu kata-kata semangat seperti itu biasa kedengaran dalam UMNO, tetapi kini sudah tiada lagi dan kini ia muncul kembali dalam Bersatu.
Cuba kita bandingkan ucapan Najib, Zahid Hamidi,  Hishammuddin Hussein dan lain-lain pemimpin dalam PAU, bukan saja hambar dan kosong, malah hampir tiada lagi kata-kata perjuangan ke arah menyelamatkan agama, bangsa dan negara.
Yang lebih direbutkan ialah siapa paling kuat mengampu, membodek dan memuji Najib. Ini kerana yang mahu mereka selamat dan diutamakan hanyalah Najib yang namanya sudah pun tercemar dan menjadi kotor hingga ke seluruh pelusuk dunia, bukan negara yang sudah rosak dan binasa.
Menyaksikan semangat tinggi dalam PAT Bersatu ini juga secara tidak langsung memberi kefahaman kepada kita mengapa Jabatan Pendaftar Pertubuhan atau ROS sejak akhir-akhir ini bagaikan sengaja cari pasal untuk membatalkan pendaftaran parti itu.
Ada saja salah dan silap yang tidak kena di mata ROS. Surat-surat yang dihantar untuk meminta penjelasan atau pemakluman pula langsung tidak dijawab, sebaliknya hanya didiamkan begitu saja.
ROS ini bekerja untuk siapa dan adakah wang daripada sumber UMNO dan BN yang membayar gaji-gaji mereka?
Atau melihat kepada sambutan dan penerimaan rakyat selama ini, ROS seperti menyesal meluluskan pendaftaran Bersatu kerana ia kini semakin hampir untuk menimbus dan mengambus UMNO ke liang lahad dalam PRU 14 akan datang?
Apakah membatalkan pendaftaran Bersatu yang dituruti dengan tiada kelulusan diberikan kepada Pakatan Harapan benar-benar dapat menyelamatkan UMNO dan BN atau ia akan melonjakkan lagi simpati serta kemarahan rakyat yang mana  akhirnya kejatuhan sebuah kerajaan yang mungkar tidak dapat dielakkan lagi?
– http://shahbudindotcom.blogspot.my

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.