`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, December 10, 2017

Jabatan Perhutanan sah tiada pembalakan baharu di Merapoh

Kesan didakwa sebagai kerja pembersihan jalan bagi tujuan pembalakan itu sebenarnya kesan lama yang dilakukan untuk aktiviti pembalakan yang dihentikan baru-baru ini.
Nor-Akhirruddin-merapohBENTONG: Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia hari ini mengesahkan tiada pembalakan baharu di kawasan Hutan Merapoh, Lipis, dekat sini seperti dakwaan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Akhirruddin Mahmud berkata, kesan didakwa sebagai kerja pembersihan jalan bagi tujuan pembalakan itu sebenarnya kesan lama yang dilakukan untuk aktiviti pembalakan yang dihentikan baru-baru ini.
“Kami telah pergi meninjau kawasan yang didakwa Khamis lalu, sebaik sahaja dakwaan itu sampai ke pengetahuan jabatan dan ternyata ia adalah kesan lama.
“Jalan itu dilalui semula bagi kerja-kerja membawa keluar jentera yang digunakan selepas aktiviti pembalakan di hutan itu dihentikan sepenuhnya,” katanya kepada Bernama semasa ditemui hari ini.
Akhirruddin ditemui pada Program Restorasi, Tebus Guna dan Pemulihan Kawasan Hutan Terosot di kompartmen 46, Hutan Simpan Lentang, Janda Baik, hari ini yang disempurnakan Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Muad’zam Shah Sultan Ahmad Shah.
Beliau sekali lagi menjelaskan pembalakan di Hutan Merapoh tidak berlaku di kawasan hutan simpan, sebaliknya di tanah milik persendirian yang diberikan sejak 1992 dan difahamkan untuk projek ladang kelapa sawit.
“Projek itu bagaimanapun mendapat tentangan penduduk tempatan kerana dilakukan tanpa mengikut syarat ditetapkan seperti terlalu hampir dengan kawasan air, menimbulkan kebimbangan mengenai pencemaran sumber air.”
Untuk rekod, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob sebelum ini berkata, projek ladang kelapa sawit itu dilakukan di tanah milik Lembaga Kemajuan Pertanian Pahang (LKPP), namun dihentikan selepas mengambil kira kepentingan hutan itu kepada penduduk setempat.
Akhirruddin juga mengesahkan jabatan itu sentiasa memantau dan akan terus meninjau kawasan terlibat, jika ada dakwaan berlaku aktiviti tidak sepatutnya dalam usaha memastikan tiada pencerobohan di hutan simpan.
Beliau menambah jabatan itu juga sentiasa terbuka dan bersedia menerima maklumat orang awam atau NGO, jika mereka mengetahui berlaku penerokaan hutan simpan supaya tindakan segera boleh dilakukan untuk mengelakkan kemusnahan lebih teruk.
Khamis lalu, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil mendakwa berlaku pembalakan baharu di Hutan Merapoh, kira-kira 10km dari kawasan pembalakan lama yang dihentikan baru-baru ini.
Beliau mendakwa kerja pembersihan jalan sedang dilakukan secara berperingkat dan menambah notis di kawasan itu menyatakan kerja pembalakan akan melibatkan kawasan seluas 668.79 hektar di tanah milik LKPP, Mukim Batu Yon dengan tempoh lesen tamat pada 14 Disember ini. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.