Otak saya bagai ditonyoh-tonyoh semalam apabila berbual dengan seorang lelaki – yang saya panggil Wak – di kolam renang Bangsar.
Semalam saya sempat ke kolam renang pada sebelah pagi sebelum masuk pejabat. Rutin berenang sudah jadi ritual saya selang sehari dua sebagai riadah mengisi keperluan jasmani – rohani, dan supaya lambat ‘pancit’.
Menghabiskan masa antara berenang selama 30 hingga 40 minit sehari sudah dikira cukup bagus untuk kesihatan. Tapi setiap kali terserempak pak cik yang saya sengaja namakan dia sebagai Wak Abu (dia lelaki Cina, berkulit sawo matang, bermata sepet dan bukan watak imiginasi) saya perasan yang saya akan keluar dari kolam sebelum dia selesai.
Nampaknya dia ‘kayuh’ lebih lama daripada saya.
Apa yang saya tahu, berenang bukan sahaja memberi manfaat kesihatan buat jantung, pernafasan, otot dan sendi, tapi juga untuk awet muda, macam Wak Abu itu.
Malangnya, lebih ramai suka makan ubat untuk kelihatan muda daripada berenang, sebab rasa leceh bermain dengan air – basah, dan bagi alasan tak pandai.
Selesai beberapa pusingan renang gaya bebas dan katak (satu pusingan bersamaan 50 x 2) saya berehat di hujung kolam. Tak lama kemudian, Wak Abu sampai termengah-mengah.
“Hari ni tak ada stamina, semalam tidur jam 3 pagi,” katanya sambil sebelah tangan berpaut pada dinding kolam.
Cerita polis pencen
Saya sering terserempak Wak Abu di kolam tiap pagi Sabtu. Sebelum ini kami tak pernah bersembang sangat, cuma angguk-angguk kepala tegur-tegur begitu saja.
Dia bertanyakan umur.
“Tiga puluh tiga, and you..?”
“Enam lapan,” jawabnya ringkas.
“Wah…68? Nampak mudalah!” kata saya. Wak Abu menyeringai.
Memandangkan Wak Abu ini tidak dimakan usia sangat walaupun badannya agak gempal, tak sangka pula umurnya sudah hampir sama dengan ibu saya. Daripada keadaan tubuh dan wajahnya, nampak macam 50 tahun sahaja.
Kami berpaut di dinding kolam, dia bercerita tentang seorang polis pencen yang sudah lama tidak turun berenang.
Polis itu tamat perkhidmatan pada tahun 60-an dan usia sekarang lingkungan 90-an.
“Dia memang kuat berenang, saya rasa dia masih hidup,” ujar Wak Abu bercerita yang dia sudah agak lama tidak bertemu polis pencen tersebut.
Tak lama selepas itu, semena-mena dia bertanya.
“Berapa umur Mahathir?”
“Sembilan puluh dua, dan masih bekerja,” jawab saya ketawa kecil.
“Yes. He is strong guy. Sudah tua pun kuat kerja…” katanya sebelum kami masuk berbual bab lain.
Kata-kata Wak Abu itu ringkas tapi menyentap. Sebab, saya tak pernah jumpa komen semacam ini daripada kawan-kawan sebaya saya. Semuanya mengata yang “Mahathir dah tua” dan “tak payahlah sibuk-sibuk lagi”, selain menyarankan orang tua itu sekadar duduk di rumah menjaga cucu.
Pendapat sebegitu juga pernah terlintas di fikiran saya sebelum ini. Saya pernah menganggap meskipun Mahathir memiliki pesona sebagai seorang tokoh yang dihormati, selain pengikut akar umbi yang ramai, masanya sudah berlalu.
Kita duduk di mana
Tapi memetik kata-kata Alan Watts tiada apa yang boleh dianggap terlewat. Dan saya percaya bahawa pandangan filsuf Zen itu betul.
Sebab, tanggapan bahawa “golongan tua” tidak perlu lagi mencampuri urusan negara seolah-olah mengikat kebijakan seseorang kepada batang tubuhnya semata-mata.
Pendapat sebegitu juga saya rasa semacam dangkal. Mungkin kita lupa betapa ramai orang tua yang berjaya berkahwin dengan orang muda.
Jadi, bukan perkara aneh kalau Mahathir masih belum cuci kaki daripada berpencak silat dalam gelanggang politik. Mungkin dia juga tak mahu habiskan sisa hidupnya membesarkan cucu.
Daripada pencerahan di kolam renang itu, saya melihat wujud dua jenis tanggapan.
Pertama daripada golongan yang sudah berusia macam Wak Abu yang kagum dengan semangat “bekerja” orang tua, dan satu lagi golongan yang berasakan orang berusia elok dibiar mereput dan tidak perlu sibuk-sibuk mencampuri hal “orang muda”.
Keadaan Mahathir menyimpang dari jalan yang pernah ditempuhi arwah rakan-rakannya seperti Saddam Hussein, Yasser Arafat, Muamar Ghaddafi, Suharto – yang mudanya melawan, menang, tewas dan mati di atas tampuk kuasa, dibunuh dan sebagainya.
Orang tua seperti Mahathir ini seolah-olah dilahirkan semula dalam roda karma – yang kembali melawan. Persoalannya sekarang, di mana kedudukan kita pada waktu ini?
Saya selesaikan dua lagi pusingan sebelum bergegas menukar pakaian dan ke pejabat. Sempat saya mengangkat tangan kepada Wak Abu sebelum melangkah keluar kolam.
Wak Abu memandang Mahathir sebagai seorang tua yang masih gigih bekerja. Sebagai orang muda – sama ada setuju atau tidak dengan orang tua itu – mungkin kita perlu lebih banyak berenang supaya tak senang pancit dan tewas di gelanggang.
HAFIZ ZAINUDDIN wartawan Roketkini, juga penulis buku Lesong yang suka makan-makan dan bergosip.
– M’kini
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.