Saya memang melapangkan diri sejak pagi tadi untuk mendengar ucapan perasmian Perhimpunan Agung UMNO atau PAU 2017 oleh Najib Razak bagi tujuan membuat sedikit ulasan atau kritikan mengenainya di blog ini.
Lebih membuatkan saya rasa teruja adalah kerana perhimpunan tahun ini merupakan yang terakhir sebelum pilihanraya umum diadakan dan mungkin juga yang terakhir sebelum parti itu kehilangan kuasanya.
Atas sebab itu, saya merasakan tentulah ada perkara-perkara menarik yang akan disampaikan Najib atau mungkin pula terselit beberapa pengumuman yang boleh menggetarkan jiwa dan membuatkan Pakatan Harapan jadi duka lara.
Atau barangkali juga Najib akan menitipkan pesan serta wasiat lantaran kuasa UMNO bakal berakhir di tangannya.
Tetapi, beberapa minit selepas mendengar Najib berucap dengan nada suaranya yang dibuat-buat, kerap meneran dan selalu menjerit, saya jadi loya dan hilang selera untuk menontonnya sehingga habis.
Saya takut jika saya menontonnya hingga hanbis, saya pula yang akan pengsan pada akhirnya.
Lalu, saya memutuskan untuk keluar atas urusan lain dan biarlah saya membaca teks ucapannya saja para sebelah petang bagi tujuan menulis ulasan tersebut.
Malangnya, setelah selesai membacanya, saya dapati tiada apa-apa yang menarik dalam ucapan Najib kali ini. Isinya kosong, penuh dengan perkara-perkara biasa dan hanya ulangan benda-benda lama.
Serangannya kepada Tun Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim dan DAP langsung tidak memberikan kesan dan tiada yang baharu, apalagi untuk mampu menyentuh jiwa sesiapa yang mendengarnya.
Saya kemudian meneliti beberapa portal atas talian dan turut mendapati tiada apa-apa yang menarik yang telah dijadikan berita besar dan boleh menjadi bahan tulisan saya.
Lantaran itu, buat pertama kalinya sejak wujudnya blog ini, saya memilih untuk tidak mengulas intipati ucapan Najib di PAU tahun ini kerana tiada apa-apa yang menarik dalam isi ucapannya yang boleh diulas dan dihidangkan kepada pembaca blog ini.
Saya pun kecewa juga sebenarnya dengan prestasi Najib ini. Beliau ternyata amat berbeza dan jauh jaraknya dengan Tun Mahathir yang ucapan perasmiannya dalam Perhimpunan Agung UMNO dahulu sentiasa menjadi penantian dan perhatian, bukan saja oleh ahli-ahli UMNO, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.
Apa sudah jadi dengan Najib dan kenapa begini teruk isi ucapannya?
Beliau seperti sudah kehabisan idea dan kehilangan rentak dalam hidupnya. Sepatutnya, inilah peluang untuk beliau melontarkan sesuatu yang berbeza serta boleh memberi kesan yang tidak dilupakan oleh sesiapa yang mendengarnya.
Apakah ini tanda-tanda beliau akan kehilangan kuasa dan kecundang dalam pilihanraya akan datang nanti?
Dan mungkinkah ini juga isyarat yang semakin jelas bahawa kita pun sebagai rakyat harus sama-sama lebih sepakat untuk menolak dan tidak berperdana-menterikan beliau lagi?
– http://shahbudindotcom.blogspot.my
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.