Ketua penerangan Umno Sabah berkata, Dr Mahathir menggunakan kelebihan usianya untuk mengkritik Putrajaya, kerana kehabisan taktik untuk mencemarkan nama baik Najib dan kerajaan pimpinannya.
KOTA KINABALU: Seorang pemimpin Umno Sabah mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad bertindak semberono dengan menyerang Datuk Seri Najib Razak kerana menganggap kerajaan tidak akan menyentuhnya bagi menghormati sumbangannya dahulu.
Timbalan Ketua Penerangan Umno Sabah, Datuk Ramlee Marahaban mendakwa bekas perdana menteri itu menggunakan kelebihan usianya untuk mengkritik Putrajaya, kerana kehabisan taktik untuk mencemarkan nama baik Najib dan kerajaan pimpinannya.
“Beliau menuduh kerajaan cuba mengekalkan kuasa melalui syor persempadanan semula terbaharu yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).”
“Beliau mengatakan usaha itu ialah cubaan gerimander yang akan memanfaatkan Barisan Nasional (BN).
“Tetapi SPR, sebuah badan bebas akan sentiasa menjalankan proses ini pada bila-bila dan di mana sahaja yang dirasakan sesuai,” katanya kepada FMT sambil menambah peningkatan penduduk sebagai faktor penyumbang.
Ramlee berkata, Dr Mahathir adalah perdana menteri paling lama berkhidmat untuk negara, selama 22 tahun sejak 1981.
“Mungkin beliau tahu sesuatu yang kita tidak tahu tentang proses persempadanan semula oleh SPR,” katanya sambil menambah tiada bukti proses di bawah kerajaan sekarang itu memanfaatkan BN.
Ramlee yang juga pembantu menteri kewangan Sabah hairan kenapa Dr Mahathir merasakan dirinya layak bercakap mengenai demokrasi kerana beliau mendakwa pengerusi PPBM dan Pakatan Harapan itu bukan contoh terbaik untuk menyentuh perkara itu.
Beliau mendakwa Dr Mahathir ketika memerintah negara ini, menghukum musuh politiknya dengan kejam dan memenjarakan sesetengah daripada mereka yang menentangnya.
Ramlee berkata, adalah ironik untuk melihat lelaki paling berkuasa di negara ini satu masa dahulu, kini berkongsi pentas politik sama dengan pemimpin pembangkang yang beliau seksa selama bertahun-tahun.
Dr Mahathir yang meninggalkan Umno pada Februari 2016 dan menubuhkan PPBM 7 bulan kemudian mendakwa mahu “selamatkan negara” daripada kerajaan pimpinan Najib.
PPBM kemudian menyertai PH yang terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah, pada Mac tahun ini dan Dr Mahathir dinamakan pengerusi gabungan 4 parti pembangkang itu pada 13 Julai lalu.
Berbeza dengan Dr Mahathir, katanya, Najib mula menerajui negara pada 2009 ialah seorang pemimpin berbudi bahasa yang menghormati musuh politiknya.
“Apabila pemimpin PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dimasukkan ke hospital, Najib meluangkan masa melawatnya.”
Ramlee mendakwa tindakan itu menunjukkan Najib bukan individu yang membenci dan berdendam dengan musuh politiknya, tidak seperti Dr Mahathir.
Ramlee gesa rakyat Sabah tidak melupakan layanan Dr Mahathir kepada mereka semasa pemerintahannya.
“Kami tiada kuasa untuk bersuara menentangnya kerana beliau akan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap kami.
“Sabah diabaikan di bawah pemerintahannya. Memang beliau ada memberikan dana, tetapi jumlah itu sangat sedikit,” dakwanya.
“Beliau jarang melawat kami di sini, tetapi Najib selalu datang bukan kerana beliau fikir kami ialah deposit tetap BN, tetapi kerana beliau faham beliau ialah PM untuk semua, bukan hanya rakyat di Semenanjung.”
Katanya, Najib mempercayai rakyat Sabah dan Sarawak, oleh itu beliau memberi mereka jawatan strategik di Putrajaya, termasuk portfolio penting dalam Kabinet. -FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.