Sejak UMNO kehilangan kuasa pada 9 Mei lalu, dua senario silih berganti berlaku kepada pemimpin-pemimpin parti Melayu itu.
Pertama, satu demi satu pemimpinnya meninggalkan UMNO kerana tidak sedia untuk berada lebih lama sebagai pembangkang, seolah-olah menjalani kehidupan tanpa nikmat jawatan serta kedudukan dalam kerajaan adalah sesuatu yang memedihkan.
Kedua, satu demi satu juga pemimpin UMNO sanggup menebalkan muka bertemu Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sama ada bersendirian atau berkumpulan, secara sunyi-sunyi atau terang-terangan, sedangkan ketika mereka ada jawatan dahulu, lelaki tua berusia 93 tahun itulah yang siang malam dikutuk, dihina dan dicaci demi semata-mata untuk mempertahankan seorang penyamun bernama Najib Razak.
Hanya kerana Tun Mahathir kini berjawatan Perdana Menteri dan mempunyai banyak kuasa, sementara Najib sudah tiada apa-apa gula lagi yang boleh diagih-agihkan, para pemimpin UMNO dengan tiada perasaan malu sama sekali sanggup menjilat ludah sendiri.
Zahid Hamidi sendiri mengakui beliau dua kali mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir, walhal ketika berjawatan timbalan perdana menteri dahulu, tanpa belas kasihan beliau memfitnah Pengerusi Pakatan Harapan itu dengan nama “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty.”
Kali ini, melalui gambar yang baru tersebar, terdedah pula pertemuan sekumpulan pemimpin UMNO diketuai Timbalan Presidennya, Mohamad Hassan dengan Perdana Menteri di kediaman peribadinya pada 22 Oktober lalu.
Beberapa kelompok pemimpin UMNO yang lain, di Johor misalnya, turut melakukan kunjungan peribadi terhadap Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin yang pernah dimusuhi dan dinista dengan pelbagai kata-kata celaan.
Di kala mereka berdegar-degar menjeritkan kata-kata perjuangan sehingga timbul urat leher dan meminta ahli bawahan kekal setia bersama UMNO, pemimpin di atas yang sebelumnya ada kedudukan dan jawatan kini bertempiaran menjual serta mempromosi diri kepada orang yang pernah mereka kutuk, hina dan caci sebelum ini.
Apa pun alasannya mereka melompat parti atau mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir yang kini berjawatan Perdana Menteri, pemimpin-pemimpin UMNO ini bolehlah dikategorikan sebagai jenis yang tiada jati diri sama sekali.
Di mana dan apa nilai perjuangan mereka sebenarnya?
Yang nyata, di sebalik berdegar-degar melantunkan semangat perjuangan di mulut, tetapi matlamat sebenarnya hanyalah perut.
Ketika UMNO berkuasa dan Najib menjadi Perdana Menteri dahulu, adakah kita dengar atau lihat terdapat pemimpin-pemimpin pembangkang pernah masuk ke pejabat atau kediaman Perdana Menteri sepertimana kelakuan pemimpin UMNO setelah jadi pembangkang sekarang ini?
Kenapa di sebalik bersama penyokong sendiri melaungkan kata-kata semangat perjuangan tetapi secara sembunyi-sembunyi sanggup datang ke rumah musuh sendiri?
Kalau pun bertemu Tun Mahathir sekadar untuk merayu agar UMNO tidak dibubarkan sebagimana yang didakwa oleh Mohamad Hassan, itu cara yang sebetulnya dalam perjuangan dan mengapa tidak dilakukan dengan cara mematuhi peraturan dan undang-undang?
Ketika DAP mahu dibubarkan dahulu, adakah kita pernah dengar Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng mengadakan pertemuan secara rahsia dengan Najib?
Begitu juga ketika Bersatu diarahkan bubar sementara oleh RoS atau sewaktu Pakatan Harapan sepanjang masa ditolak permohonan kelulusannya, adakah kita dengar sesiapa daripada gabungan itu yang teringan untuk merayu dan mengadakan pertemuan sulit dengan Perdana Menteri atau Menteri Dalam Negeri?
Kenapa pemimpin UMNO tiada sikap untuk melawan secara terbuka sebagaimana yang ditunjukkan oleh para pemimpin PKR, DAP, Amanah dan Bersatu sebelum ini?
Realitinya, baru tujuh bulan bergelar pembangkang sudah begini sikap mereka, bagaimana untuk meneruskan perjuangan sehingga PRU15 akan datang?
– http://shahbudindotcom.blogspot.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.