`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, July 8, 2019

ANTARA UMNO DAN BERSATU, TUN M HANYA MAHU SATU TERUS HIDUP

UMNO yang ada pada hari ini sebenarnya bukanlah UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946 dahulu.
UMNO asal itu hakikatnya sudah pun mati berikutan keputusan mahkamah pada 1988 dahulu yang mengisytiharkannya sebagai sebuah pertubuhan haram.
Walaupun keputusan Mahkamah Tinggi pada 1988 itu boleh dirayu tetapi Tun Mahathir Mohamad yang ketika itu merupakan Presiden UMNO tidak pun berbuat demikian.
Beliau sebaliknya menubuhkan UMNO Baru di mana hanya mereka yang terpilih dan merupakan penyokongnya saja dibenarkan menyertainya pada ketika itu.
Kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah yang kalah 43 undi kepada Tun Mahathir dalam pemilihan tahun 1987 tidak dibenarkan sama sekali menyertai UMNO yang baru ditubuhkan itu.
Kumpulan Tengku Razaleigh kemudiannya menubuhkan Parti Semangat 46 yang membawa semangat perjuangan UMNO asal itu.
Dengan perjalanan masa serta melalui cengkaman kuasa, UMNO Baru itu perlahan-lahan diperkukuhkan sehingga akhirnya ia dijenamakan sebagai UMNO sepenuhnya.
Tetapi, realitinya UMNO asal sudah mati kerana tidak pernah diusaha untuk dihidupkan, sebaliknya UMNO Baru secara perlahan-lahan ditukar sebagai UMNO asal yang telah mati itu.
Lantaran itu, realitinya juga UMNO yang ada sekarang adalah parti yang ditubuhkan oleh Tun Mahathir, bukan parti yang diasaskan oleh Datuk Onn Jaafar dahulu.
Meskipun UMNO ini ditubuhkan oleh Tun Mahathir, namun beliau telah dua kali keluar meninggalkan parti itu.
Pertama, ketika mahu menekan Tun Abdullah Badawi agar berundur dan kedua, ketika mahu menyingkirkan Najib Razak.
Tun Mahathir bagaimanapun menyertai semula UMNO setelah Tun Abdullah berjaya disingkirkan dan Najib mengambil alih kerusi empuk Perdana Menteri pada 2009.
Pada 2016, Tun Mahathir sekali lagi keluar UMNO, juga sebagai cara untuk memberi tekanan kepada Najib agar berundur berikutan terpalit dengan skandal 1MDB.
Apabila tekanannya tidak berjaya menyingkirkan Najib, Tun Mahathir selepas itu menubuhkan Bersatu yang akhirnya bergabung dengan PH, seterusnya berjaya menumbangkan BN dan beliau menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.
Selepas setahun mentadbir negara bersama PH, minggu lalu secara mengejut Tun Mahathir mempelawa semua parti Melayu, terutamanya UMNO, agar bersama menyertai Bersatu.
Tujuannya kata Tun Mahathir untuk memastikan kuasa Melayu tidak berpecah dan mampu memenangi pilihanraya akan datang.
Apakah yang kita boleh faham daripada pelawaan Tun Mahathir ini?
Ternampak di sini bahawa Tun Mahathir ada rasa rindu kembali agar parti yang diterajuinya mempunyai jumlah kerusi majoriti dalam kerajaan sebagaimana pertama kali beliau menjadi Perdana Menteri sebelum ini.
Ketika ini, walaupun memegang kuasa sebagai Perdana Menteri, jumlah kerusi yang dimiliki oleh partinya iaitu Bersatu adalah nombor tiga di belakang PKR dan DAP.
Barangkali dengan kedudukan itu, beliau merasakan kuasanya agak terhad dan tidak boleh berbuat sesuka hati.
Selain itu, mesej lain di sebalik pelawaan Tun Mahathir itu ialah beliau sebenarnya hanya mahu satu saja parti yang pernah ditubuhkannya terus hidup di negara ini iaitu Bersatu.
Ini adalah isyarat bahawa UMNO paling mungkin akan diharamkan berikutan terkait dengan skandal 1MDB dan menerima wang haram syarikat tersebut.
Walaupun sehingga ini pemimpin UMNO menolak pelawaan Tun Mahathir, tetapi beliau, sebagaimana yang diketahui, adalah pemimpin yang arif dan pakar dalam menggunakan kuasa untuk mencapai apa yang dihajatinya.
Dengan dua parti yang ditubuhkannya – UMNO dan Bersatu – saling bersaing sesama sendiri, ia adalah perkara yang menyakitkan sebenarnya bagi Tun Mahathir.
Beliau akan lebih berasa aman dan tenang jika hanya salah satu saja yang terus hidup selepas ini.
– https://shahbudindotcom.net

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.