`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, November 1, 2022

Badan Peguam diberi tempoh hingga 7 Nov fail pembelaan berkait kes saman Zaid

Badan Peguam disaman berhubung kenyataan media dikeluarkan ketika rayuan kes SRC Najib Razak di Mahkamah Persekutuan.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini memberi tempoh hingga 7 Nov ini kepada Badan Peguam dan presidennya untuk memfailkan pembelaan terhadap saman fitnah oleh bekas peguam cara mewakili Najib Razak dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan dan hukuman dalam kes rasuah SRC International.

Dalam prosiding dijalankan melalui pertukaran e-mel, Timbalan Pendaftar Nuur Fatimahtul Zuhrah turut mengarahkan Zaid Ibrahim dan dua rakan kongsinya memfailkan jawapan mereka sebelum 28 Nov.

Mahkamah turut menetapkan 13 Dis sebagai tarikh pengurusan kes seterusnya.

Pada 30 Sept, Zaid, Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam memfailkan saman terhadap Badan Peguam dan Presidennya Karen Cheah berhubung dakwaan salah laku mereka dalam rayuan itu.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Mereka mendakwa bahawa kenyataan media dikeluarkan oleh Cheah pada 19 Ogos bertajuk “Abuse of Process Brings Disrepute to Our Justice System” membayangkan bahawa mereka telah “menggugat sistem keadilan melalui strategi yang tidak bertanggungjawab”.

Kenyataan Cheah kemudian diterbitkan oleh beberapa organisasi media pada hari sama, tambah mereka.

“Kata-kata dalam kenyataan akhbar (Badan Peguam) itu dikira untuk memperlekehkan, memburukkan, dan menyelar plaintif dalam cara kapasiti profesional mereka sebagai peguam bela dan peguam cara yang menjalankan rayuan dan permohonan Mahkamah Persekutuan,” kata mereka.

Najib pada 25 Julai melantik firma guaman Zaid untuk menggantikan Shafee & Co sebagai peguam cara dalam rayuan terakhir kes SRC International di Mahkamah Persekutuan, dengan Hisyam Teh Poh Teik menggantikan Shafee Abdullah sebagai peguam utama.

Selepas beberapa permintaan memohon masa tambahan untuk melakukan persediaan rayuan itu ditolak mahkamah tertinggi, bekas perdana menteri terbabit melepaskan firma berkenaan sebagai peguam cara serta Zaid, Liew dan Rueben sebagai peguam bersama pada 18 Ogos.

Zaid dan dan rakan kongsinya sebelum itu menghantar surat tuntutan kepada Cheah berhubung kenyataan medianya dan menuntutnya mengemukakan “penarikan dan permohonan maaf sepenuhnya dan tidak berbelah bahagi”.

Mereka menambah tindakan undang-undang akan dimulakan terhadap Cheah jika penarikan balik dan permohonan maaf tidak dilakukan.

Pada masa itu, Cheah menjawab dengan mengesahkan bahawa dia telah melantik dua peguam yang diarahkan untuk menerima perkhidmatan proses sekiranya Zaid dan rakan kongsinya meneruskan saman itu.

Pada 23 Ogos, Mahkamah Persekutuan secara sebulat suara mengesahkan sabitan Najib atas semua tujuh dakwaan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.