`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, November 10, 2022

Bina keyakinan dalam rawatan kesuburan

 

Saringan adalah perlu untuk memastikan prosedur rawatan kehamilan yang dibantu dan selamat.

Bagi pasangan yang berhasrat memiliki keluarga sendiri, kemandulan boleh membawa kekecewaan dan kesedihan.

Tambahan, proses yang memakan masa dan mahal serta kadar kejayaan rawatan kesuburan yang rendah mungkin mendorong pasangan tidak memilih rawatan sama sekali.

Tetapi, saringan lanjutan kesihatan dan kesuburan mungkin memberi gambaran yang diperlukan dan meningkatkan keyakinan pasangan untuk meneruskan rawatan kesuburan, tidak kira melalui kaedah persenyawaan in-vitro (IVF), inseminasi buatan (AI), inseminasi intrauterin (IU), telur penderma dan lain-lain.

Prosedur saringan lanjutan

Fertility GeneCode ialah prosedur saringan baharu untuk rakyat Malaysia. Dengan kaedah mudah pengambilan darah, doktor mampu mendiagnosis penyakit genetik yang mungkin menyebabkan kemandulan. Ini termasuk sindrom ovari polisistik (PCOS) pada wanita, Azoospermia dalam kalangan lelaki atau keadaan genetik lain yang menyebabkan keguguran.

Dr Navdeep Singh Pannu.

“Kemandulan bukan hanya berpunca daripada penyakit genetik. Kemandulan dalam kalangan wanita mungkin berpunca daripada penyakit lain seperti radang pelvis yang menyebabkan parut pada sistem pembiakan atau bahkan endometriosis. Penting untuk menentukan punca anda tidak dapat hamil sebelum rawatan betul dapat diberikan,” kata Dr Navdeep Singh Pannu, pengarah perubatan Pusat Kesuburan TMC.

Prosedur saringan ini ialah langkah pertama untuk perubatan ketepatan.

Perubatan ketepatan ialah satu bentuk penjagaan perubatan yang menggunakan maklumat mengenai gen atau protein anda sendiri untuk mencegah atau mendiagnosis penyakit, di samping memberi maklumat kepada doktor untuk memilih jenis rawatan yang mempunyai peluang keberkesanan lebih tinggi berdasarkan susunan genetik anda.

Rawatan kemandulan boleh ditentukan melalui pelan farmakogenetik berdasarkan keperluan setiap individu.

Dengan menggunakan darah anda, doktor boleh melakukan ujian dan menentukan jenis ubat yang bertindak balas dengan gen anda serta mencadangkan pilihan untuk rawatan. Justeru, setiap pelan rawatan kesuburan adalah unik dan dibuat khusus untuk setiap individu.

Selain pengesanan awal dan pelan rawatan khusus, anda boleh memilih untuk menjalani saringan pembawa tambahan.

Untuk tujuan ini, sampel darah sama boleh membantu doktor menentukan jika anda berisiko membina atau mewariskan lebih 10,000 gen yang mungkin menyebabkan penyakit genetik atau sindrom kanser keturunan kepada bakal anak anda.

Penyakit seperti talasemia, fibrosis sista dan distrofi otot antara lain boleh dikesan melalui saringan pembawa.

Navdeep berkata: “Apabila ibu bapa memilih untuk menjalani saringan awal sebelum hamil, mereka boleh memahami badan sendiri dan mungkin mengesan sebarang penyakit genetik atau keturunan lain. Ini membantu keluarga mengelakkan sebarang keadaan rumit apabila mereka meneruskan hasrat untuk mempunyai anak.”

Prosedur saringan Fertility GeneCode akan memanfaatkan wanita dan lelaki yang mempunyai sejarah kemandulan dalam keluarga dan mengalami kesukaran mengandung.

Saringan itu juga akan memanfaatkan pasangan yang merancang untuk mempunyai anak, tetapi ingin tahu lebih lanjut mengenai status pembawa penyakit genetik mereka.

Tingkatkan peluang anda

Fertility GeneCode boleh membantu dalam mendapatkan hasil lebih positif bagi rawatan kesuburan anda.

Menentukan penyakit genetik yang mungkin diwarisi pesakit boleh membantu doktor mengenal pasti rawatan terbaik untuk pesakit.

Melalui prosedur saringan ini, anda akan mempunyai lebih banyak pilihan dan dengan bimbingan doktor berpengalaman, anda boleh menjalani rawatan yang paling sesuai untuk anda.

Prosedur saringan ini juga disediakan untuk pasangan yang sudah menjalani rawatan mereka dan tidak mendapat hasil dikehendaki. Dengan menjalani prosedur saringan ini, rawatan lebih baik boleh dikenal pasti.

Ini turut membantu dalam menyingkirkan beban kewangan kerana perlu mengambil pelbagai ubat dan rawatan sebelum menemui kaedah paling berkesan. - FMT

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi +6018-211 1088 / +6016 211 1357 or 03- 8069 9333.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.