PETALING JAYA: Bekas ketua Amanah Kedah, Phahrolrazi Mohd Zawawi, yang dipecat pada 30 Okt kekal membantu kempen untuk Pakatan Harapan (PH), termasuk menyokong calon bekas partinya, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Phahrolrazi yang juga ADUN Alor Mengkudu, berkata beliau melakukan tindakan sedemikian atas kapasiti peribadi kerana mahu melihat gabungan itu menang, sekali gus mengangkat Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
“Saya kini tidak bergerak atas kapasiti mana-mana parti, sebaliknya bertindak secara peribadi. Saya yakin, masih memiliki kemampuan untuk membantu calon-calon PH menang di negeri ini.
“Impian saya mahu menyaksikan Anwar menjadi perdana menteri. Sebab itu, saya terus berkempen agar PH mencapai kemenangan di seluruh tanah air,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Menurut laporan itu, Phahrolrazi juga menyertai kempen calon PH di Alor Setar, Simon Ooi Tze Min sebelum ke Sik bagi membantu kempen calon PH di Parlimen itu, Latipah Md Yatim.
Pada 30 Okt, Setiausaha Agung Amanah Hatta Ramli mengumumkan pemecatan Phahrolrazi serta-merta kerana melanggar perlembagaan parti, mengingkari keputusan parti dan melakukan perbuatan bertentangan dengan kepentingan parti.
Keputusan itu dipercayai ada kaitan dengan tindakan Phahrolrazi mempertahankan keputusan sebulat suara Amanah negeri sebelum itu yang tidak bersetuju dengan langkah meletakkan calon DAP bertanding di Parlimen Jerai, pada PRU15.
Phahrolrazi ketika mengulas lanjut, berkata keputusan memboikot PRU15 dibuat sebulat suara oleh Amanah Kedah.
“Sekarang saya bukan lagi dalam Amanah, jadi saya terus bertindak atas kapasiti peribadi selaku penyokong PH,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini belum memikirkan sama ada mahu membuat rayuan kepada Amanah atau menyertai parti lain dalam komponen PH.
Katanya, berkata perkara itu hanya akan dipertimbang dan dibincangkan bersama para penyokongnya selepas PRU15.
“Ketika ini saya akan fokus membantu kemenangan calon PH. Penyokong saya juga diminta melakukan perkara sama iaitu memastikan kemenangan buat PH tanpa ada dendam kepada mana-mana pihak.
“Cumanya untuk mereka yang mengundi di Jerai, itu terpulanglah kepada budi bicara mereka untuk buat keputusan. Isu tersebut sensitif sikit tetapi di kawasan-kawasan lain, memang kami akan sokong PH termasuk dalam kalangan calon-calon Amanah,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.