`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, November 10, 2022

LRT rosak: Di mana silapnya?

 

Kebelakangan ini nampaknya LRT banyak berdepan dengan masalah teknikal yang serius. Apakah mungkin kerana teknologi yang digunapakai sekarang sudah ‘luntur’ atau lama?

Saya tidak pasti sama ada mereka telah menaik taraf dan berpindah kepada teknologi terkini.

Saya difahamkan walaupun berpuluh tahun mereka mengendalikan operasi LRT, Prasarana masih tidak mempunyai kepakaran tempatan untuk mengganti teknologi tersebut dan terpaksa bergantung kepada kepakaran dari luar negara, terutama pembekal asal.

Ini amat malang bagi negara dan pengguna pengangkutan awam.

Ke mana hilangnya semua ahli-ahli teknikal dan pekerja mahir LRT yang saya difahamkan terlatih sewaktu LRT mula-mula beroperasi lagi.

Apakah tidak ada pengganti atau kesinambungan pekerja mahir?

Pastinya kalau pekerja mahir itu masih ada, mereka bisa menangani masalah yang timbul.

Kalau kita masih berharap kepada kepakaran pembekal asal, maka kita berhadapan dengan masalah besar; teknikal dan juga kewangan.

Mengharapkan kepakaran luar negara, tentunya akan mengambil masa yang panjang untuk segala pembaikan dan pemulihan.

Belanja untuk pembekalan alat ganti mungkin juga telah meningkat daripada harga asal.

Saya kurang faham kenapa pengurusan Prasarana, terutama menteri kewangan (Prasarana bawah Kementerian Kewangan dan dipantau oleh Kementerian Pengangkutan) tidak memberi keutamaan kepada membangunkan kepakaran teknologi tempatan, selepas sekian lama menguruskan operasi LRT (lebih 20 tahun).

Saya fikir kesilapan dan gangguan ini berpunca daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan itu sendiri yang tidak mempunyai kepakaran untuk memastikan perkara sebegini tidak berlaku.

Mengendalikan pengangkutan awam dengan baik dan sempurna sepatutnya menjadi asas kedua-dua kementerian.

Ini kegagalan yang nyata. Masalah yang telah lama berlaku ini akan terus berpanjangan sekiranya Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan tidak ada pelan jangka panjang untuk menangani masalah-masalah teknikal pada masa depan.

Semua teknologi yang dibeli dari luar memerlukan penyelenggaraan berjadual

(regular maintenance) dari masa ke semasa.

Kita melihat MRT juga dalam keadaan yang sama dan tidak ditangani dengan baik. MRT juga di bawah Kementerian Kewangan.

Kebanyakan teknologi – canggih sekalipun – mempunyai jangka hayat dan perlu diselenggara dengan baik dan adakala ditukar ganti.

Mungkin inilah masanya untuk penggantian.

Program pindahan teknologi

Ke mana perginya pindahan teknologi yang sering kita dengar daripada pihak kerajaan?

Kementerian Kewangan selalunya menamakan perkara ini sebagai isu utama dalam setiap pembelian kerajaan.

Tidakkah ini juga menjadi permintaan utama di pihak kementerian sewaktu memberi kontrak pembekalan untuk projek LRT dan MRT?

Malaysia mesti mengadakan program pindahan teknologi untuk mengambil-alih segala teknologi yang dibeli.

Kita mempunyai ramai tenaga kerja dan graduan yang tidak ada kepakaran.

Mereka tidak diambil dan dilatih untuk diberi pendedahan tentang teknologi yang dibeli oleh kerajaan.

Apakah di masa lalu, perkara ini tidak diambil berat dan diberi perhatian oleh kerajaan pada masa itu?

Jadi sekarang kita berdepan dengan segala macam masalah. Apakah mungkin Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan tidak cekap, tidak pandai, dan tidak telus dalam mengurus pengangkutan awam? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.