`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, January 4, 2023

Anak derita lecur 5 hari, suami isteri ditahan gagal dapatkan rawatan

 

Kanak-kanak itu tidak dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan, sehingga rakan kepada ibu mangsa yang mengetahui kejadian itu membuat laporan polis, kata Ketua Polis Daerah Pontian Mohammad Shofee Tayib.

PETALING JAYA: Polis menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan bagi kes pengabaian selepas tidak menghantar anak lelaki mereka untuk rawatan kerana melecur akibat bermain api di timbunan sampah di Kampung Parit Kuchi, Pontian.

Ketua Polis Daerah Pontian Mohammad Shofee Tayib berkata pasangan berusia 36 dan 33 tahun itu ditahan pada 2 pagi semasa memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, dan akan disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Menurutnya, kanak-kanak berusia sembilan tahun itu menunjukkan kesan terbakar dan melecur di bahagian sendi; beberapa anggota badan di bahagian kanan badan hingga kaki; lengan kiri; kedua-dua paha dan telinga kanan susulan kejadian pada 30 Disember lalu itu.

Pihaknya percaya kanak-kanak itu tidak dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan, sehingga rakan kepada ibu mangsa yang mengetahui kejadian itu membuat laporan polis semalam.

“Laporan polis dibuat kerana pengadu tidak berpuas hati dengan ibu bapa mangsa yang masih membiarkan anaknya tidak menerima rawatan.

“Walaupun sudah lima hari berlalu sehingga laporan polis dibuat, (tiada rawatan dibuat menyebabkan) luka mangsa semakin teruk dan sudah mula berbau. Laporan juga dibuat untuk tindakan lanjut pihak polis kerana pengadu mengesyaki terdapat pengabaian terhadap kanak-kanak itu,” katanya menurut laporan Bernama.

Mohammad Shofee berkata siasatan awal terhadap ibu mangsa mendapati ketika kejadian mendapati mangsa sedang bermain api bersama adiknya dan dilihat membaling bekas telur ke dalam api.

“Kemudian, ibu mangsa yang berada dalam rumah ketika itu terdengar bunyi letupan di luar dan nampak kelibat mangsa berlari dengan baju dan seluar terbakar menuju dan terjun ke dalam parit di hadapan rumah.

“Bapa mangsa juga telah membantu memadamkan api pada baju mangsa sebelum membawanya masuk ke dalam rumah,” katanya.

Beliau berkata ibu bapa mangsa hanya membeli ubat tahan sakit serta ubat sapu di farmasi dan tidak membawa mangsa ke mana-mana hospital untuk rawatan.

Katanya kanak-kanak itu kini stabil di Hospital Pontian dan akan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk rawatan lanjut. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.