`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, January 5, 2023

Beberapa pesan Gulistan untuk orang berkerajaan

 

Terdapat sebuah karya sastera dunia, sebuah kanun besar berjudul Gulistan, karya penyair dan seniman Parsi; Saadi Shirazi (1184-1292) yang banyak memuatkan nasihat dan pesan untuk orang berkerajaan. Ia mendapat tempat istimewa dalam kalangan filsuf dan penggemar karya oriental di Barat dan selalu ditenung-tenung khusus melibatkan sekian banyak pengajaran mengenai pentadbiran atau pemerintahan.

Berasal dari Shiraz, Saadi adalah graduan Universiti Nezamiyeh di Baghdad dan mempelajari ilmu Islam, usuluddin, kanun, sastera dan mengembara selama 30 tahun ke Anatolia di Turki, Syria, Iraq, Mesir dan bersama-sama kumpulan sufi melanggar dan bertempur dalam Perang Salib di Halab. Beliau malah pernah ditawan selama tujuh tahun, dipenjarakan dan sesudah itu meneruskan kembara ke India, dan Asia Tengah. Di semua tempat ini, Saadi menerima penghormatan dan dirujuk oleh istana dan penguasa.

Di situlah beliau beroleh pelbagai kekuatan dan keunggulan seni meninggalkan aneka wasiat, pesan dan amanat untuk para pemerintah Islam. Sebahagian besarnya termuat dalam Gulistan yang dikarang pada tahun 1258.

Antara pesan Saadi dalam babak “hukum yang mengatur kehidupan”, beliau mengingatkan seorang penguasa atau menteri begini: “Sebuah negara dihargai karena kecerdasan rakyatnya, dan sebuah agama dihargai dengan kebajikan. Padshah (penguasa) lebih banyak memerlukan nasihat daripada orang cerdik pandai, dari orang cerdik pandai yang memerlukan pertimbangan padshah. Jika engkau mahu mendengarkan nasihat padshah, tidak ada petunjuk yang lebih baik dari sebuah ungkapan yakni – percayakan urusanmu kepada orang cerdik pandai, meskipun mungkin itu bukan dalam bidang yang dikuasainya.”

Jelaslah Saadi memberi peringatan bahawa seorang pemimpin memerlukan sebetul-betul ilmuan untuk membantu mereka dalam pentadbiran dan pemerintahan.

Tatkala Saadi berkelana dan menjadi penasihat di banyak istana, sayugia diingatkan politik dan pertembungan antara pelbagai khemah musuh adalah amat sengit dan kadang kala mengelirukan.

Oleh sebab itu, mana-mana pembaca berminat akan menemukan banyak ingatan Saadi kepada orang berkerajaan mengenai “musuh politik” mereka. Musuh dalam hal ini, menjadi perhatian besar oleh penyair dan alim ini.

Sebagai contoh, dalam sebuah anekdot, Saadi mengatakan begini: “Seorang musuh yang tampak lemah, seolah-olah menyerah dan memperlihatkan persahabatan, sebenarnya adalah musuh yang sangat kuat. Seperti kata pepatah, jika sebuah persahabatan sudah tidak boleh dipercaya, apa yang dapat diyakini dari tipu daya musuh?”

Di tempat lain, Saadi mengatakan lagi: “Jangan kasihan pada kelemahan yang dimiliki musuh. Kerana saat dia memperoleh kekuatan, dia tidak akan melepaskanmu. Jangan menyombongkan kekuatanmu saat melihat musuh telah lemah. Di setiap tulang ada sumsum, dan di balik selimut ada seorang manusia.”

Juga, Saadi berpesan: “Saat semua peralatan musuh telah rosak, dia akan menggoyang tali persahabatan. Dan memperlihatkan tindakan bersahabat yang tidak mampu ditolak.”

Manakala di bahagian lain, Saadi berbicara mengenai kehati-hatian dan berwaspada dengan jamak musuh yang satu digelar ular, yang lain mungkin lebih ringan disebut sekadar “musuh”. Kata Saadi: “Pukullah kepala seekor ular dengan memakai tangan musuh, kerana hal itu akan mendapatkan dua keuntungan. Jika berhasil bermakna engkau telah membunuh ular. Dan jika tidak, bererti engkau telah terbebas dari musuh.”

Dalam perenggan lain, Saadi berhikmah juga; “Jangan melontarkan tuduhan kepada musuh. Jangan tersanjung oleh pujian. Yang pertama bererti menggali lubang untuk diri sendiri, dan yang kedua bererti membuka peluang untuk perselisihan.”

Ada satu anekdot yang amat saya sukai, khusus untuk mereka yang berkerajaan bersama-sama duduknya ada orang jahat sekali. Kata Saadi, begini: “Siapa pun yang bersama dengan orang jahat tidak akan mampu melihat kebaikan.” Beliau seterusnya bersyair, “Jika bidadari berteman dengan setan. Dia akan belajar rasa takut, umpatan dan kata-kata jelek. Dari orang jahat, engkau hanya akan belajar kejahatan. Seekor serigala tidak akan mengambil baju kulit yang dijahit.”

Pesan Saadi ini terkait untuk pelbagai jenis pembantu penguasa yang jahat, mungkin sahaja terdiri daripada mereka yang memperbudakkan hamba, merampas harta orang, memperkosa wanita suci, memukul orang miskin dan menganiayai minoriti.

Memang pesan-pesan Saadi ini makin dibaca makin menggerunkan kerana maklumlah ia amat dekat dengan realiti semasa. Dalam bahagian lain, Saadi sang pendita terus meragut perhatian para sultan dan perdana menteri yang datang menemuinya.

Kata Saadi ribuan tahun lalu; “Makhluk yang paling terhormat adalah manusia, dan yang paling rendah nilainya adalah anjing. Tetapi orang yang pandai, setuju bahawa anjing yang tahu berterima kasih lebih baik daripada orang yang tidak tahu berterima kasih.”

Sungguh, bukan kerana anjing itu makhluk hina (yang sebetulnya setia dan berjasa), tetapi dalam berkerajaan, khusus yang beregu dengan macam-macam kepala dan yang pernah dinisbah jahat, ada satu amanat Saadi yang perlu direnungkan:

“Seekor anjing tidak pernah melupakan setiap kerat daging yang dia terima

Meskipun dilempar batu ratusan kali,

Tetapi jika engkau menolong seorang sahabat,

Dalam sebuah perselisihan, dia tetap saja akan berkelahi denganmu.”

Membaca Saadi memperihalkan politikus yang memanjai musuh, memang menyeramkan.

Jangan kata saya tidak mengingatkan, Saadi sudah berpesan beberapa abad lampau. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.