`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, January 20, 2023

Dah bincang, faham pun sudah, tapi mana tindakan, persatuan hotel tanya kerajaan

 

Industri perhotelan dikatakan belum mampu pulih sepenuhnya kerana penginapan jangka pendek dan agensi pelancongan dalam talian tidak dikawal selia.

PETALING JAYA: Sebuah persatuan hotel mewakili lebih 2,700 ahli yang menggaji hampir 50,000 pekerja menyeru kerajaan melaksanakan garis panduan penginapan jangka pendek (short-term residential accommodation atau STRA).

Presiden Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA), Sri Ganesh Michiel, berkata kerajaan sudah menghasilkan garis panduan STRA bersama pemegang taruh, yang turut merangkumi soal pendaftaran lesen perniagaan dan ketirisan cukai.

“Sampai sekarang tak dibentangkan di Parlimen,” katanya kepada FMT. “Ada banyak perbincangan dan taklimat bersama industri telah dilakukan sehingga garis panduan itu dikeluarkan. Mereka dah janji untuk menguatkuasakan tapi akhirnya tak.”

Ganesh berkata kerajaan telah difahamkan secara menyeluruh kesulitan yang dihadapi industri perhotelan dalam pertemuan-pertemuan sebelum ini.

“Jangan hanya buat perjumpaan dan seterusnya membiarkan begitu sahaja,” katanya.

Ganesh berkata sungguhpun permintaan terhadap hotel kembali meningkat, industri perhotelan belum mampu pulih sepenuhnya, kerana STRA dan agensi pelancongan dalam talian tidak dikawal selia oleh apa-apa undang-undang mahupun peraturan.

Sejak STRA muncul, pendapatan hotel bajet rata-rata turun hampir 45%-70%, katanya.

“Penginapan jangka masa pendek dan agensi pelancongan dalam talian yang tidak dikawal selia menawarkan penginapan tidak berlesen serta harga bilik yang sangat rendah yang secara langsung mendorong hotel menjadi pilihan terakhir dalam kalangan pelancong,” katanya.

Beliau menjelaskan lazimnya sebaik sahaja iklan bilik dipaparkan dalam mana-mana sistem tempahan dalam talian, harga bilik berkenaan akan menjadi lebih rendah disebabkan oleh persaingan di antara platform-platform dalam talian yang akhirnya memberi kesan kepada pengusaha-pengusaha perhotelan.

“Bagaimana hotel untuk jalankan perniagaan dengan harga yang semakin rendah ini? Kalau satu bilik harga RM50 macam mana kita boleh hidup? Tiada keuntungan, lebih-lebih lagi dengan kenaikan gaji pekerja dan faedah pinjaman bank,” katanya.

“Jangan sekadar tengok hotel itu penuh kemudian anggap hotel itu pandai cari duit atau sedang buat keuntungan, tidak! Bantulah kami.”

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang, Tony Goh, berkata pihaknya masih menunggu kerajaan negeri dan persekutuan melaksanakan peraturan berkenaan penginapan jangka pendek.

Beliau berkata kadar tempahan bilik menunjukkan petanda positif, khususnya pasaran domestik, berikutan pemulihan industri pelancongan, namun “permintaan orang awam terhadap Airbnb dan sebagainya turut meningkat.”

MAH Pulau Pinang mewakili 95 ahli dan menggaji 4,000 kakitangan ketika ini. Secara keseluruhan, ia mempunyai 15,300 bilik namun kekurangan kira-kira 1,000 pekerja.

Goh juga berharap kerajaan memberikan perhatian, sokongan, dan insentif khas untuk mengurangkan perbelanjaan operasi hotel-hotel, “yang meningkat secara drastik” berikutan Akta Kerja 1955 (pindaan) 2022, di samping kos elektrik dan kos inflasi barangan.

Beliau merujuk kepada pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam dan bayaran kerja lebih masa untuk pekerja bergaji bawah RM4,000.

Industri perhotelan menggesa kerajaan mengenakan peraturan lebih tegas terhadap pengendali penginapan dan sewaan jangka pendek, sejak 2018.

Pemain industri berpandangan pengendali terbabit patut dikenakan peraturan percukaian sama seperti hotel, kerana perniagaan mereka juga menawarkan penginapan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.