`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, January 3, 2023

Hanya usul ucapan dasar presiden dibentang pada PAU, kata Ahmad

 

Ahmad Maslan berkata, walaupun hanya ucapan dasar presiden dibentang dalam Perhimpunan Agung Umno 2022, tetapi sudah tentu ia akan menyentuh banyak isu.

KUALA LUMPUR: Hanya usul ucapan dasar presiden akan dibentang dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 yang bakal bermula 11 Jan ini, kata Setiausaha Agungnya, Ahmad Maslan.

Katanya, ia disebabkan faktor kesuntukan masa dan tidak ramai menteri daripada Umno dalam kerajaan perpaduan untuk menjawab usul berkaitan isu semasa.

“Sebelum ini ada ucapan dasar presiden, usul mengenai pendidikan, usul mengenai agama dan ekonomi.

“Jika usul mengenai ekonomi…tak ada menteri ekonomi berkaitan untuk menjawab. Sukar untuk menteri berkaitan (dari parti lain) jawab di pentas parti,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Umno.

Beliau berkata, walaupun hanya ada ucapan dasar presiden, tetapi sudah tentu akan menyentuh banyak isu, contohnya berkaitan pendidikan, agama, ekonomi dan isu antarabangsa.

Jemputan kepada parti lain

Ahmad berkata, jemputan kepada parti lain dalam kerajaan perpaduan untuk menghadiri PAU 2022 akan diputuskan Majlis Kerja Tertinggi dalam mesyuarat bulanannya Khamis ini.

“Tunggu keputusan malam itu,” katanya.

Kerajaan perpaduan dianggotai Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Kerajaan perpaduan dianggotai 15 Ahli Parlimen PH menerusi PKR, DAP, Amanah dan Upko; enam daripada BN menerusi Umno; lima daripada GPS menerusi PBB, PRS dan PDP; serta seorang daripada GRS menerusi Bersatu Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar bukan ahli mana-mana parti. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.