`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, January 16, 2023

Judi, arak, dan pilihan raya negeri

 

Tidak sesekali mahu saya pertikai niat mereka tetapi kalau kerajaan Kedah pimpinan PAS mendakwa tindakannya tidak memperbaharui lesen perjudian dilakukan demi Islam kerana ‘amal mahruf nahi mungkar’, tidak dapat dinafikan ia juga boleh membawa keuntungan politik – khususnya apabila pilihan raya negeri diadakan kelak.

Tindakan itu bermula 1 Januari lalu. Sekali gus tiada lagi premis perjudian dan loteri beroperasi di Kedah. Langkah itu menambat hati ramai orang Melayu yang sememangnya meletak agama pada tahap paling penting dalam hidup mereka. Kebanyakkan orang Melayu (tak kiralah sama ada alim atau tidak) berpegang bahawa tuntutan agama mesti diikuti.

Islam menuntut judi dijauhinya, malah mengharamkannya. Oleh itu apabila kerajaan PAS Kedah menutup premis perjudian dan loteri orang Melayu rata-rata menyokong tindakan itu sekali gus sokong kerajaan itu sendiri. Penduduk Kedah majoriti Melayu Islam.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Begitu juga arak. Kerajaan Kedah mengehadkan penjualannya termasuk di kedai serbaneka 24 jam dan kedai bebas cukai di Langkawi.

Pasti apabila berkempen untuk PRN Kedah yang akan diadakan tahun ini, tindakan tegas ke atas judi dan arak akan dicanang ke seluruh pelosok negeri untuk membuktikan kerajaan negeri ‘menegakkan Islam’.

Sasarannya kita semua maklum pengundi Melayu. Seperti dikata tadi majoriti penduduk Kedah orang Melayu. Bagaimana pula pengundi bukan Melayu bukan Islam, masyarakat minoriti di negeri itu?

Mungkin perkiraannya – itu boleh difikirkan kemudian. Menangi undi Melayu cukup untuk menang pilihan raya.

Pasti juga modal kempen ini akan digunakan di Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, dan Selangor apabila negeri itu mengadakan pilihan raya masing-masing tahun ini. Walaupun Negeri Sembilan dan Selangor mempunyai pengundi pelbagai kaum tetapi jumlah besar pengundi ialah orang Melayu.

Di Pulau Pinang yang juga akan berlangsung PRN, modal kempen berkenaan hanya boleh digunakan di kawasan tertentu. Ya – kawasan Melayu.

Namun yang pasti tindakan kerajaan Kedah akan menyusahkan keadaan yang tersedia susah untuk PAS (dan rakannya, Bersatu) di Pulau Pinang – berpandukan jumlah pengundi bukan Islam.

Masyarakat bukan Islam yang sekian lama melihat PAS parti ala Taliban akan terus menjauhinya di setiap sudut dan penjuru negara ini. Lantas parti itu ditakuti. Bermacam langkah dan tindakan PAS yang membuat orang bukan Islam rasa begitu.

Bahkan ada dalam kalangan orang Melayu-Islam yang menyifatkan tindakan PAS ekstrem dan tidak menepati tuntuan Islam sebenar. Ini terus diperbahas antara yang menyokong dan membantah.

Antara isu kontroversi ialah pendirian PAS terhadap arak buatan Malaysia jenama Timah, festival Bon Odori, dan Oktoberfest. Tidak dinafikan ia menyumbang kepada Gelombang Hijau yang berlaku di utara dan pantai timur Semenanjung pada PRU15.

Terbaharu ialah tindakan Muhamad Fawwaz Mat Jan, orang PAS yang merampas kerusi Parlimen Permatang Pauh daripada Nurul Izzah Anwar pada pilihan raya umum lalu.

Fawwaz membantah keras promosi penjualan minuman beralkohol di sebuah pusat beli belah di Pulau Pinang tempoh hari. Promosi itu dijalankan sempena sambutan Tahun Baru Cina yang bakal menjelma. Sasarannya orang bukan Islam khusus masyarakat Cina.

Bantahan beliau mendapat perhatian ramai apabila Fawwaz sendiri memuat naik video di media sosial yang menunjukkan beliau meluahkan rasa tidak senangnya kepada pengurusan pusat beli belah berkenaan.

Berbalik cerita Kedah.

Apa pun tindakan ke atas premis judi di Kedah sudah pun diguna untuk “menyerang” atau lebih tepat menekan kerajaan persekutuan. Dewan Ulama PAS Pusat menyeru kerajaan mengikut jejak kerajaan Kedah.

“Tidak wajar sekadar berbangga dengan penurunan cabutan undi tetapi premis judi dibiarkan membelenggu masyarakat,” kata ketuanya Ahmad Yahya.

Beliau merujuk arahan Perdana Menteri berkuatkuasa 1 Januari 2023 cabutan khas perjudian diturunkan kepada lapan kali. Imbas kembali semasa Pakatan Harapan jadi kerajaan dahulu, jumlah cabutan itu juga ditetapkan pada kadar lapan.

Bagaimana pun ia dinaikkan kepada 22 kali pada zaman kerajaan Perikatan Nasional. Oleh kerana PAS duduk dalam kerajaan PN waktu itu, ia dikecam hebat pelbagai pihak terutama seterunya kerana dilihat berpeluk tubuh tidak menghalang langkah itu dan seolah olah ‘merestuinya’.

Sememangnya PAS terkesan dengan tuduhan demikian. Apabila kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim mengurangkan jumlah “special draw” itu kembali kepada angka lapan, PAS seakan diperingatkan akan kegagalannya melakukan sesuatu ketika duduk dalam kerajaan dahulu.

Namun dengan adanya tindakan anti-judi kerajaan Kedah, PAS mendapat ‘peluru’ menyerang semula dan terus menghala ‘tembakan’ ke arah kerajaan persekutuan. Ini bagi saya bagai pertandingan siapa lebih Islam (teringat tahun 1980-an dulu PAS dan Umno berebut tonjol imej Islam dengan pelbagai langkah dan tindakan).

Tentunya sukar kerajaan persekutan melakukan apa yang kerajaan Kedah lakukan – mengambil kira sensitivti dan hak masyarakat bukan islam di seluruh negara.

Dalam desakan tindakan keras di ambil keatas judi dan arak, PAS berpendapat tidak ada agama yang izinkan penganutnya terlibat dengan judi dan arak kerana ia memudaratkan masyarakat dan meruntuhkan keluarga. Oleh itu PAS merasakan tindakan boleh diambil tanpa kira bangsa dan agama.

Ertinya apa yang dituntut oleh Islam (berhubung arak dan judi) sama dituntut agama lain. Begitu? PAS sebelum ini kerap mengingatkan kita Islam tidak boleh disamakan dengan agama lain atau diletak pada tahap sama. Sekadar imbau kembali apa yang PAS pernah kata.

Memang benar semua agama tidak galakkan amalan yang memudaratkan dan meruntuh keluarga. Seperti judi dan arak.

Bagaimanapun tidak seperti Islam yang mengharamkan judi dan arak dengan jelas, agama lain memberi “kelonggaran”.

Menurut paderi Kristian yang saya temui, umat Katolik percaya alkohol diterima atau dibolehkan jika ia dimiuum secara “moderate”. Yang dianggap dosa ialah apabila alkohol diminum berlebihan sehingga memabukkan. Wain disebut dalam Bible dan dihidangkan untuk diminum pada upacara keagamaan tertentu.

Begitu juga judi. “Seorang yang bergaji kecil tetapi minum arak dan berjudi sehingga menafikan keperluan asas untuk kehidupan keluarganya sudah melakukan dosa besar,” kata beliau.

Maksudnya tidak ada larangan menyeluruh terhadap judi dan arak. Dibolehkan pada waktu dan situasi dan secara sederhana.

Berpandukan itu ramai penganut agama bukan Islam menyifatkan tindakan PAS menafikan hak mereka untuk membuat pilihan sendiri, memaksa, dan mencabuli gaya hidup mereka.

Saya kira PAS terutama pemimpinnya tahu akan ini semua. Tetapi mereka lebih tahu isu judi dan arak membawa undi Melayu kepada parti mereka. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.