`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, January 4, 2023

Jurulatih tampar pemain mohon maaf secara terbuka

 

Saiful Hadee Amar kesal dengan perbuatannya menampar dua pemain dan reda dengan tindakan yang bakal dikenakan terhadapnya.

PETALING JAYA: Jurulatih bola tampar yang terbabit dalam kontroversi menampar dua pemain remaja, tampil memohon maaf secara terbuka atas tindakannya itu.

Saiful Hadee Amar, 44, yang kesal dengan perbuatannya, sedia dan reda berdepan tindakan susulan insiden pada 16 Dis lepas itu.

“Saya tidak berniat mengambil tindakan sehingga mendatangkan kecederaan…tindakan saya untuk menaikkan lagi semangat mereka, memotivasikan mereka dalam setiap perjuangan yang saya ada.

“Saya memohon maaf pada semua pemain, terutama dua pemain terlibat, ibu bapa, kelab saya sendiri Mastanah dan Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) serta komuniti bola tampar di Malaysia,” katanya dipetik Bernama dalam sidang media di pejabat Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka.

Sidang media itu turut dihadiri ibu bapa dua pelajar terbabit, Exco Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Melaka, VP Shanmugam, Ketua Pengarah MSN, Ahmad Shapawi Ismail dan Pengarah MSN Melaka, Asri Ninggal.

Semalam, bapa salah seorang pemain itu dilaporkan berkata, beliau sudah memaafkan jurulatih terbabit dan berharap dia tidak dikenakan sebarang tindakan, dengan pasukan bola tampar B-14 (Wanita) Melaka tampil menyokong jurulatih mereka.

Saiful berkata, sesi latihan yang dikendalikannya sebelum ini turut menerapkan pelbagai jenis pendekatan, termasuk psikologi, intensif dan fizikal dalam membentuk pemainnya.

“Saya lakukan ini demi menaikkan semangat mereka sebagai seorang pemain yang berjuang bagi mencari setiap kemenangan…pemain adalah keluarga dan sumber kekuatan saya, tanpa mereka, saya tidak boleh menjadi jurulatih.”

Sementara itu, Shanmugam berkata, Mava akan membuat keputusan berhubung tindakan yang perlu diambil terhadap Saiful, selepas siasatan persatuan itu bersama Kementerian Pendidikan (KPM) selesai.

Katanya, antara tindakan yang boleh dikenakan ialah menggantung atau menamatkan perkhidmatan sebagai jurulatih pasukan negeri itu.

“Meskipun permohonan maaf dan persefahaman antara kedua pihak, iaitu jurulatih dan ibu bapa diselesaikan, namun isu ini perlu diteliti sewajarnya kerana mendapat perhatian pelbagai pihak.

“Kedudukan jurulatih ini terbahagi kepada beberapa perkara. Pertamanya ialah siasatan pihak kerajaan negeri kerana penularan ini. Keduanya, beliau berkhidmat dengan KPM, maka Unit Integriti mereka akan membuat siasatan lanjut.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.