`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, January 23, 2023

Lawan gaduh, tak lawan gaduh

 

Bermula dengan penafian atau ”disclaimer”: Artikel ini bukan mencadang, mengesyor, mahu pun membayangkan apa-apa. Hanya mengimbau apa yang terjadi dan mencatat apa yang sedang terjadi, membabitkan Umno.

Kisah dulu. Pada Jun 1987 satu tindakan sivil difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh 11 ahli Umno (asalnya 12 orang) memohon suatu relif termasuk pengisytiharan bahawa pemilihan calon yang menang semasa perhimpunan agung Umno 1987 “bertentangan dengan perlembagaan parti, tidak sah, dan dianggap terbatal serta tidak mempunyai kesan”.

Fakta-fakta yang dipersetujui menyatakan 30 cawangan Umno tidak diluluskan dalam empat Bahagian parti. Suatu perkiraan mudah menunjukkan bahawa jika perwakilan daripada 30 cawangan itu tidak diambil kira, keputusan pemilihan 1987 akan menunjukkan jurang undi yang amat tipis di antara pemenang dan calon yang kalah.

Pada pemilihan Umno yang diadakan 24 April 1987, Dr Mahathir Mohamad meraih 761 undi berbanding 718 yang diperolehi Tengku Razaleigh Hamzah. Kelebihan tipis 43 undi cukup untuk Mahathir mengekalkan jawatan presiden Umno. Setelah beberapa siri perbicaraan selama tujuh bulan, kes tersebut dibicarakan di hadapan Hakim Harun Hashim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Pada 4 Februari 1988, Harun mengisytiharkan Umno pertubuhan yang tidak sah kerana wujudnya beberapa cawangan yang tidak didaftarkan dan dianggap tidak sah, menurut Akta Pertubuhan.

Keputusan itu berita besar dalam dan luar negara. Kumpulan 11 sendiri terperanjat kerana menurut seorang daripada mereka, Abdul Rahim Abdul Rahman, bukan niat mereka supaya Umno diharamkan. Yang mereka mahu ketika membawa kes ke mahkamah ialah supaya pemilihan Umno 1987 dianggap tidak sah dan pemilihan diadakan semula.

Hakikatnya mahkamah sudah buat keputusan. Berikutan itu bermacam tindakan dan langkah susulan diambil pelbagai pihak yang akhirnya menyaksikan pendaftaran parti yang dikenali sebagia “Umno (Baru)” pimpinan Mahathir. Parti itu kekal sehingga ke hari ini walaupun perkataan “baru “ digugurkan.

Kisah sekarang. Ini semua sudah tahu. Pada PAU 2022 yang diadakan pada 11 hingga 14 Jan 2023, satu usul tambahan dibawa oleh perwakilan dari Negeri Sembilan, Mohd Shukri Samsudin, mencadangkan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan. Pemilihan Umno mesti diadakan pada atau sebelum 19 Mei ini iaitu enam bulan selepas PRU15 diadakan seperti diperuntukkan perlembagaan parti.

Usul tambahan itu disokong Umno Terengganu dan Selangor. Apabila ia diundi pada hari terakhir perhimpunan dengan kaedah angkat tangan, usul berkenaan mendapat sokongan majoriti. Tamat perhimpunan, isu jawatan “top two” Umno tidak dipertandingkan terus membara antara yang sokong dan yang bantah.

Lantas baru-baru ini diberitakan ahli Umno Terengganu, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan Muhamad Fiqri Firdaus Muhamad Rom, ahli Umno Negeri Sembilan, menghantar notis bantahan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan. Bantahan dibuat kerana mereka beranggapan usul tambahan berkaitan dua jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan “tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan Umno”.

Sebenarnya orang yang pertama atau antara yang pertama bercakap mengenai bantahan boleh dibawa ke JPPM ialah Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob. Pada hari terakhir PAU tempoh hari yakni 14 Januari, Ismail diminta media memberi reaksi mengenai usul tambahan yang baharu diterima perhimpunan. Ismail berpendapat kesahihan parti membawa dan menerima usul itu boleh ditentukan JPPM. Menurut beliau, ada ahli parti yang mempunyai pandangan berbeza dalam isu berkenaan lalu Ismail berkata mana-mana ahli parti boleh merujuk kepada JPPM bagi mendapatkan pengesahan status usul tambahan itu.

Dari segi perundangan, menurut Ismail, ada beberapa pandangan berbeza. “Ada yang kata ‘okay’ kerana diputuskan sewaktu perhimpunan agung kerana ia merupakan tempat tertinggi di dalam parti untuk membuat keputusan. Pandangan itu dibenarkan pengerusi (persidangan).”

Pun begitu kata Ismail lagi, “ada juga pandangan yang berbeza yang mengatakan dari segi PAU ini, walaupun ia merupakan satu tempat yang tertinggi dalam parti, boleh buat sebarang keputusan, ia mesti tertakluk kepada perlembagaan parti”. Bagaimanapun ketika ditanya media adakah beliau sendiri akan membawa perkara itu ke JPPM, Ismail menjawab, “Tidak, saya hanya sebut ada dua pandangan berbeza”. Berdasarkan apa yang dilakukan dua ahli Umno yang membawa bantahan mereka kepada JPPM, bolehkah dirumus mereka mengorak langkah berdasarkan apa yang ismail katakan?

Tindakan mereka dipuji Khairy Jamaluddin, bekas ketua Pemuda yang dilihat ramai berminat mencabar jawatan presiden atau timbalan apabila pemilihan Umno dilangsungkan kelak. Kata beliau, “’well done guys’, ada yang masih berani dan waras dalam Umno”.

Tampil Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Puad Zarkashi, sehari kemudian dengan persoalan adakah dua ahli Umno berkenaan “benar-benar bersifat berani atau mereka sekadar dipergunakan”. Dalam hantaran di Facebook, Puad berkata sepatutnya “orang atas” yang buat aduan seperti itu.

Apa pun pada 21 Januari, Setiausaha Agung Ahmad Maslan berkata beliau bersama barisan peguam Umno akan mengadakan pertemuan dengan JPPM “dalam waktu terdekat”. Panjang lagilah cerita ini.

Kita kerap dengar dalam kalangan Umno ada yang kata jika pertandingan “top two” diadakan ia akan membawa kepada perbalahan, perselisihan, sekali gus memecah perpaduan. Kita juga dengar ada dalam kalangan Umno kata tidak ada pertandingan dua jawatan itu akan membawa kepada perbalahan, perselisihan, dan memecah perpaduan.

Lawan gaduh, tak lawan gaduh – jadi semua serba salah. Persoalannya – gaduh mana lebih sengit? Gaduh sebab ada pertandingan atau gaduh tak ada pertandingan? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.