Saya telah menghabiskan cuti panjang sempena Tahun Baharu Cina yang lalu untuk menelaah dokumen dan manual pentadbiran Perdana Menteri ke-10, Saudara Anwar Ibrahim yang bertajuk ‘Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi’. Meskipun terdapat kecacatan ejaan, tanda baca di sana sini, ia merupakan usaha yang baik. Saya harus memuji pasukan penulis dan pengkaji yang bertungkus-lumus menjelmakan gagasan ‘Madani’ ini (malangnya tidak dinyatakan siapa), mengakibatkan saya harus menahan diri daripada memuji mereka.
Mungkin sahaja tulisan ini sebuah reviu buku terbitan bersama-sama, Institut Darul Ehsan dan The Centre for Post Normal Policy and Futures Studies.
Secara umumnya, untuk membaca alir fikir Anwar bagi membangunkan negara kita boleh menelusuri kembali tujuh buah kerja nukilan Ziauddin Sardar; enam buah kerja penuh gemilang karya Prof Syed Hussein Alatas; dan empat buah karya Amartya Sen.
Untuk mereka yang mungkin dengan tajam ingin menaji Anwar yang mungkin tidak sempat menghindar diri sebagai seorang Islamis, saya harus nyatakan yang hanya sebuah tulisan Syed Muhammad Naquib Al-Attas telah disinggung, iaitu ’Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu’ yang itu pun dimunculkan sekadar menjadi petikan hiasan tidak signifikan.
Pasukan penulis dan pengkaji untuk Anwar ini nampaknya telah bersedia sejak awal untuk mengambil alih negara tetapi terbantut oleh macam-macam percekcokan siasah yang keji dan memualkan. Ini malah diakui oleh beliau di hujung buku tersebut pada halaman 191 dan 192:
“Gerakan Reformasi, rundingan dan perbincangan yang kemudiannya membidani Parti Keadilan Rakyat, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, dan kini Pakatan Harapan, semuanya telah menyumbang kepada pembentukan sekaligus memberi nafas kepada visi yang saya lakarkan di sini. Susulan daripada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 yang bersejarah, dan pembebasan saya dari penjara, maka saya fikir sudah tiba masanya untuk mengumpul semula semua nota, diari dan catatan saya yang berserakan sebelum ini, dan merumuskan kesemuanya menjadi suatu gagasan ampuh untuk menjana perubahan buat Malaysia, seperti yang telah dihasratkan rakyat melalui peti undi pada tahun 2018.
“Saya merangkul para pemikir, perancang strategi, pakar ekonomi, pakar undang-undang, sarjana sains politik, dan pemikir masa hadapan; kami telah bertungkus-lumus bersama lebih setahun untuk membangunkan kerangka MADANI melalui siri bengkel dan pemukiman. Meskipun berhadapan dengan pelbagai halangan – Langkah Sheraton, pandemik COVID-19 serta kemelut yang lain – kami terus menelaah, mengulang dan memperhalusi setiap perincian, menyesuaikan kerangka ini dengan isu semasa dan perubahan yang berlaku.”
Menurut Anwar (atau pasukan pengkaji dan penulisnya), kata kunci Madani itu akan tumbuh dari enam semaian, lihat di halaman 29:
“MADANI: kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, nilai hormat, keyakinan, dan ihsan – kata kunci kepada sebuah agenda rakyat untuk membina masa hadapan yang madani buat Malaysia.”
Mengentengkan di sini setiap canda, gurau, dan senda pengkritik yang melecehkan akronim Madani, saya dapati kerangka ini dengan sejujurnya ingin melakukan tindak perdana agar negara pulih dari malapetaka atau bencana rasuah dan korupsi yang melanda sejak beberapa dekad berlalu. Ini menjelaskan mengapa terdapat banyak kerja dan tulisan Syed Hussein Alatas dirujuk oleh Anwar untuk membina acuan Madani beliau. Sebagai pengkagum Syed Hussein Alatas, saya percaya jihat yang sedang dipandu Anwar kini ialah untuk membina sebuah negara berkebajikan untuk rakyat dengan daya bantu dan gembleng tenaga kelas yang mampu.
Seperkara lain ialah Anwar dan pasukan pengkajinya amat jelas bahawa semua yang sedang digubal, diacu, dan dikerangka ini akan mengalami aneka gangguan. Bahawa mungkin sahaja ada tafsiran berbeza (tetapi mereka yang berlainan itu tetap dihormati), bahkan Madaninya bakal berdepan kerumitan selain kekacauan. Beliau juga mengenal siapa yang harus disasarkan dan program apa yang harus diajukan.
Terdapat saranan apa yang boleh dilakukan sebagai pemberdayaan. Ini memberi kesan, Madani tidak sekadar gagasan abstrak yang meraba-raba untuk kita kecapi, tetapi di tangan pasukan pengkajinya, Madani menjadi satu acuan yang boleh ditekuni dan kemudian diterapkan jika ada daya dan tekad, ya jika tidak mahu tentulah berjuta dalih. Ia manual alih yang berbobot.
Dalam hal rasuah, misalnya Anwar tahu apa yang harus dilakukan terhadap SPRM misalnya, tulis beliau di halaman 115:
“Kita juga harus menyegerakan pembaharuan yang mustahak dilakukan terhadap badan dan agensi pengawasan sedia ada seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menjamin pematuhan kepada kerangka dasar yang diwujudkan demi mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan. Institusi-institusi yang diamanahkan untuk mengawal selia perkembangan dalam memulihkan keyakinan dalam negara in ternyata akan mempunyai beberapa tugas besar untuk dipikul justeru memerlukan dukungan penuh rakyat.”
Menyedari imej penguasa yang rendah, Anwar menegaskan di halaman 125:
“Di samping itu, kita akan memperkenalkan agenda Reformasi yang menyeluruh bagi membasmi rasuah dalam kalangan pegawai polis dan penjawat awam demi membina semula keyakinan antara rakyat dengan pihak berkuasa, serta mewujudkan saluran pemantauan yang lebih baik. Demi membina kepercayaan yang lebih utuh antara rakyat, kerajaan dan dunia luar, dalam dan di luar sempadan, kita akan mengkaji semula dasar Malaysia terhadap imigresen, hal ehwal penghijrah dan pelarian serta kedaulatan negara dengan mengambil kira kerangka MADANI.”
Seperkara yang amat menyerlah ialah Anwar tidak menyentuh pentadbiran atau penerapan Islam secara langsung dalam Madani. Nampaknya beliau ingin menghindarkan kesilapan pemimpin lalu, yang mungkin sahaja termasuk beliau sendiri, yang menekankan Islam tanda-tanda (syiar) tetapi kali ini pergi langsung ke inti dan tunjang ajaran Islami. Dalam hal ini citra dan pelan Islam yang ingin digagaskan oleh pentadbiran Anwar menerusi Madani terkumpul pada ihsan. Tidak dapat dinafikan ihsan komponen ajaran Islam yang dikaramkan oleh ramai agamawan negara ini demi mengangkat fikah dan Islam yang bersifat menghukum dan melabel.
Ihsan ialah ajaran Islam yang memupuk nilai baik, yang sebetulnya objektif terakhir kita semua yang beragama, yakni untuk menjadi seorang mukmin.
Dalam hal ini Anwar menyatakan di halaman 24:
“Pengajaran beberapa dekad ini harus menjadi asas untuk kita membina sebuah masyarakat madani yang bersifat ihsan, peduli, berkasih sayang, dan merasai keperitan orang miskin, yang terpinggir, dan yang sehingga kini diabaikan. Membela kebajikan asas mereka bermula dengan memastikan pendapatan mereka adalah pendapatan yang bermaruah untuk meneruskan hidup secara mampan. Sikap ihsan, peduli, dan kasih sayang juga harus diterapkan dalam hubungan kita dengan alam sekitar dan masyarakat, termasuk para pekerja yang sering ditindas dan dianiayai.
“Keutamaan dan kebajikan rakyat wajib menjadi pertimbangan dalam merancang keuntungan hasil perniagaan, sementara institusi-institusi negara perlu menerapkan belas kasihan. Kerangka undang-undang perlu dibangunkan untuk memastikan nilai ihsan dan belas kasihan menjadi ciri penting kehidupan seharian kita. Golongan miskin dalam masyarakat kita tidak semata menderita dek kelembaban ekonomi, malah mereka juga diabaikan, dikelirukan, dihina dan diinjak maruah mereka, sehingga mereka hidup sengsara dan melarat.
“Percubaan untuk mengukur tahap kemiskinan daripada sudut angka atau statistik juga adalah sia-sia, kerana ketimbang mengikhtiar penyelesaian, mereka yang berkuasa sebaliknya menggunakan angka-angka statistik untuk menutup bangkai gajah dengan harapan masalah ini akan lesap.”
Saya harap Anwar mengotakan janji ihsan ini. Satu-satunya pemimpin sebelum ini yang saya arif ada menekankan perihal ihsan ini cuma Adly Zahari. Yang lain, terlalu tertumpu kepada maqasid atau objektif syariah.
Tidak banyak boleh dikutuk pada Madani. Ia tidak kamil tetapi memadai buat masa ini. Malah untuk apa kebudak-budakan menghunjamnya? Pun, satu ancaman kepada imej Madani milik Anwar ini ialah ahli dalam Kabinet Perpaduan beliau itu sendiri. Adanya beberapa individu dari Umno yang membuatkan ramai antara kita berasa curiga dan sangsi.
Jika Madani dilemparkan kepada kaum minoriti, mereka akan masih menagih kata-kata dan acuan ini menjadi nyata. Contohnya, kes Amri Che Mat dan Pastor Koh masih belum diadili. Apa iltizam Anwar? Penjahat dalam kalangan penguasa belum dipertanggungjawabkan. Atau kaum buruh kekal menunggu apakah pembaharuan yang betul-betul jadi. Alam sekitar yang disakiti menunggu bagaimana pentadbiran ini akan menyirami mereka.
Dalam waktu sama, sudah ada khabar angin berkesiuran yang ramai puak daulah terpendam atau “deep state” dalam kalangan penjawat awam yang sedang menderam. Mereka merupakan serigala dengan niat membaham dan mencakar mengoyak daging dan jasad rakyat demi habuan dan penyelewengan. Kumpulan ini harus diperhati. Penjawat awam “deep state” ini boleh berubah bulu sekelip mata. Kini mereka ikut madani, walaupun asalnya nerakawi.
Menteri-menteri baharu kita difahamkan, sedang dibodoh dan diperkotak-katikkan oleh segelintir pegawai-pegawai kerajaan beragenda ini. Saya tidak tahu bagaimana untuk menyedarkan mereka dari lena di empuk. Harus diingat Madani tidak akan jaya jika hanya Anwar bekerja, manakala yang lainnya tertinggal atau terhegeh.
Aspek kebudayaan nampaknya disedari sebagai salah satu keutamaan yang boleh menjayakan Madani. Banyak kata kunci kebudayaan disebut ulang. Pun, entah di mana salahnya pentadbiran Anwar ini, ia terlalu jelas dan ketara meminggirkan kebudayaan dan kesenian dan meneruskan amalan lama menyendal seni budaya di celah ketiak Kementerian Pelancongan lantas menjadikan ia bukan sesuatu yang dasar. Mungkin dalam pasukannya belum ada budayawan dan seniman dengan hati nurani. Eloklah dicari.
Di atas kertas, Madani kemukaan Anwar Ibrahim ini molek. Saya cuma khuatir menteri yang dipilihnya tidak berdaya melakukan. Yang ada bisa melakukan, malangnya tidak beliau pilih dan dinafikan kemampuan serta bakat mereka kerana katanya, ditakuti PAS melalak. Sayang nasib rakyat digonggong begini.
Terlepas dari semua keterkucilan di atas, saya ingin mendoakan secara tulus ikhlas; semoga Anwar berjaya menegakkan Madani. Semoga Tuhan Semesta Alam memudahkan urusan beliau. Semoga musuh-musuh Madani akan dilaknat, moga mereka akan terbenam dalam-dalam ternyah dan terhempuk melepet masuk tujuh petala bumi. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.