PETALING JAYA: Tidak ada masalah untuk Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) untuk berdepan pilihan raya negeri (PRN) pada tahun ini, kata Pengerusinya, Aminuddin Harun.
Beliau yang juga menteri besar Negeri Sembilan itu berkata, bagaimanapun setakat ini masih belum ada lagi sebarang pertemuan untuk membincangkan perkara itu dengan Pengerusi BN Negeri Sembilan Mohamad Hasan.
Jelasnya, soal kerjasama hanya akan diputuskan pucuk pimpinan parti masing-masing di peringkat PH, dan akan ditentukan oleh Majlis Presiden PH.
“Di peringkat negeri, kami tiada ada kuasa untuk menentukan hala tujunya, ia akan diputuskan oleh Majlis Presiden PH. Nampak akan berbincang mengenai perkara tersebut dan saya berharap ia dimuktamadkan hujung bulan ini.
“Bagi saya tiada masalah untuk bekerjasama (dengan BN) jika itu arahan, kami akan ikut. Saya belum berjumpa dengan Tok Mat (Mohamad), ada berjumpa beliau secara tidak rasmi seperti di Parlimen dan majlis-majlis, tetapi (rundingan kerjasama) tidak boleh berjumpa tidak rasmi, mesti diputuskan di peringkat kepimpinan,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan mangsa banjir Pantai Timur.
Mengulas dakwaan berlaku kesukaran mengadakan rundingan antara dua gabungan itu, Aminuddin yang juga naib presiden PKR menyifatkannya sebagai pandangan sesetengah pihak sahaja.
“Itu pandangan mereka sahaja, mungkin pada zaman mereka, itu yang berlaku, kita tidak tahu. Tetapi dalam keadaan sekarang apa juga keputusan itu harus diraikan.
“Keputusan Majlis Presiden itu nanti adalah penting, jika tiada (kerjasama) kami juga akur, saya rasa penyokong di peringkat akar umbi juga akan terima, pastinya mereka akan ikut apa yang diputuskan oleh pucuk pimpinan. Itu di peringkat PH, di pihak BN saya tidak tahu,” katanya.
Semalam, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, dipetik sebagai berkata, tidak timbul soal kesukaran dalam rundingan kerjasama politik antara gabungan PH dan BN bagi menghadapi PRN akan datang.
Tegasnya, parti-parti terlibat masih mempunyai tempoh yang panjang dan apabila tiba masa yang sesuai, sudah pasti keputusan berhubung perkara itu akan dimuktamadkan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.