`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, January 19, 2023

Rasis adalah masalah mental

 

Pada 2002 terdapat seruan dalam kalangan pengamal perubatan melibatkan kesihatan mental yang mendesak Persatuan Psikiatrik Amerika Syarikat agar menamakan rasisme sebagai masalah atau penyakit mental.

Sejujurnya indeks perdana yang berperanan untuk mengukur atau memastikan simptom psikiatrik – Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders atau DSM – tidak mahu menamakan mereka yang rasis itu sebagai memiliki masalah mental.

Perkauman hanya disebut sebagai satu masalah kebudayaan. Misalnya jika ramai Melayu yang rasis hari ini maka ia dilihat sebagai isu kebudayaan yang mungkin faktornya ialah kerana agamawan masuk masjid itu memang suka membakar perasaan dan emosi jemaahnya agar membenci kaum tertentu. Demikian juga jika ada kumpulan pendidik masyarakat Cina yang demikian tegar memandang orang Melayu sebagai bangsa terkebelakang dari segi pandai bodohnya maka itu juga terlihat sebagai isu kebudayaan.

Namun, seruan untuk menjadikan rasisme dan seorang rasis itu sebagai seorang pesakit mental kini semakin kuat. Malah psikologis ternama G Allport dalam tulisan berpengaruhnya “The Nature of Prejudice” pada tahun 1954 telah pun menghitung skala tindak tanduk atau aksi bahaya rasisme.

Ia terpakai untuk mereka yang rasis. Dalam skala ini Allport meletakkan mereka yang rasis ini kepada lima tahap iaitu; pertama, meluahkan ekspresi verbal. Luahan kata secara lisan ini amat banyak boleh dikesan baik di dalam mesej media sosial berkumpulan, platform media sosial dan juga dapat ditangkap pada ceramah, khutbah, ucapan, kenyataan individu tertentu. Kadang-kala ekspresi verbal yang rasis ini dilakukan oleh pemimpin politik. Ketika kempen PRU15 sebelum ini, ekspresi verbal berbau perkauman ini dapat dikenali dengan berleluasa dalam platform TikTok dan tidak dikawal pihak berkuasa langsung. Bahkan ada pemimpin yang dengan sengaja menggunakannya. Hanya setelah mendapat teguran Majlis Raja-raja barulah nampaknya ia mereda.

Tahap kedua ialah apabila individu itu mulai menghindar kaum atau masyarakat yang tidak disukainya. Jika ada tanda pada seorang individu, misalnya, dia bangun dari duduk di kerusi sebelah seorang pekerja asing dari Bangladesh (di dalam kenderaan awam) maka itu memberi petunjuk. Waima apa pun alasannya (bau tengik, khuatir penyakit berjangkit dan sebagainya). Kadangkala ia merebak dalam bentuk masyarakat iaitu apabila sekumpulan kaum enggan menginap di kawasan tertentu kerana menyifatkan ia adalah kawasan dengan populasi sesuatu kaum yang mana akan membawa kepada keresahan (contohnya menyampah dengan azan, atau benci colok dan anjing belaan).

Tahap ketiga ialah apabila rasisme ini mulai menjadi bahaya iaitu apabila terdapat diskriminasi terhadap kumpulan tersebut dalam bentuk polisi awam berteras kebencian. Ini dapat kita lihat misalnya di sesetengah tempat di Amerika Syarikat. Kadangkala ia diadaptasi oleh sesebuah negara menjadi dasar tunjang nusa bangsa seperti terlihat pada Afrika Selatan di zaman Apartheid.

Tahap keempat skala Allport menyatakan rasisme yang makin perlu dibendung ialah apabila ia sudah melibatkan serangan atau kekasaran fizikal. Amerika Syarikat menanggung masalah ini secara kritikal. Dalam sejarah hubungan kaum mereka, ia amat parah.

Tahap kelima ialah apabila rasisme ini mendorong pembunuhan, penghapusan kumpulan atau kaum tersebut. Ini seperti terlihat pada masyarakat Rohingya, genosid terhadap bangsa Bosnia di Balkan pada 1990-an, dan pembunuhan besar-besar di Rwanda tatkala kaum Tutsi dibantai oleh militia Hutu sekitar tahun 1994. Allport menganggap tahap kelima ini adalah satu “perangai atau aksi yang tidak rasional dan ada masalah mental”.

Banyak tahun kemudian, pada 1996, M Sullaway dan E Dunbar iaitu dua orang psikiatris, dalam artikel ilmiah mereka “Clinical Manifestations of Prejudice in Psychotherapy: Toward a Strategy Assessment and Treatment” melihat individu yang terlalu prejudis sebagai satu indikator psikopatologi. Bahkan kedua-duanya dalam kajian klinikal mereka menemukan yang individu rasis juga terlihat pada pesakit yang mempunyai gangguan psikotik seperti mereka yang menghidap schizophrenia dan gangguan bipolar.

Kemudian pada 2002, pengamal kesihatan mental Alvin F Poussaint dari Harvard Medical School menuliskan laporan “Is extreme Racism a Mental Illness”. Beliau menyatakan berdasarkan ujikaji dan pengalamannya, individu rasis ini boleh dirawat dengan terapi dan kaunseling, yang mana apabila mereka ditunjukkan masalah sebenar ternyata masalah itu bukan melibatkan individu atau bangsa lain.

Berdasarkan kajian-kajian di atas kita boleh memutuskan mereka yang rasis ini mempunyai masalah kesihatan mental yang memerlukan rawatan. Untuk sesetengah yang kronik mungkin mereka perlu diberi dadah tertentu sebagai penenang agar tidak mengeluarkan kenyataan mengarut, khususnya jika kenyataan itu boleh mempengaruhi orang lain seperti dilakukan di dalam masjid atau kenyataan politik kepada pengikut dan ahli parti.

Perkauman adalah satu masalah serius dalam negara yang berbilang kaum dan kepercayaan seperti kita. Sudah tiba masanya, psikiatris tempatan ikut mengkaji aspek atau masalah ini. Tidak mustahil ada pengamal kesihatan mental negara kita dapat menyumbang kepada debat dan perbincangan berkaitan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.