PETALING JAYA: Seorang warga Pakistan maut ditikam pada Sabtu lalu kerana menyembunyikan tiket penerbangan untuk menghalang adiknya pulang ke negara asal.
Dalam kejadian 9.57 malam di Taman Desa Meranti, Sungai Petani itu, mangsa berusia 39 tahun yang hanya dikenali sebagai Mukhtiar, cedera akibat ditikam di paha dan terdapat kesan lebam di badan.
Mangsa yang tidak sedarkan diri dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, tetapi disahkan meninggal dunia pada 10.37 malam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Zaidy Che Hassan berkata, dua beradik itu bertengkar selepas Mukhtiar menyembunyikan tiket penerbangan dan melarang adiknya yang berusia 34 tahun pulang ke Pakistan untuk bertemu keluarga.
“Suspek yang berang bertindak di luar kawalan dengan memukul dan menikam abangnya sehingga parah,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Beliau berkata, jiran yang menyedari kejadian itu segera menghubungi polis.
Katanya, suspek yang mengaku menikam abangnya, direman tujuh hari sehingga 6 Jan ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dibedah siasat. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.